SPRM tahan guru besar buat tuntutan palsu

 

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM2,500, dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini kira-kira jam 1.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada penghujung tahun 2019, guru besar berkenaan bmembuat tuntutan palsu untuk beberapa program di sekolah berkenaan dengan menggunakan peruntukan Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) sedangkan program-program tersebut tidak dilaksanakan.


Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan guru besar berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, esok untuk permohonan reman.- UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/09/sprm-tahan-guru-besar-buat-tuntutan-palsu/

Comments