SINGAPURA: Singapura mencatat rekod 2,236 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (28 Sep).
Kes jangkitan baru itu termasuk 2,226 kes tempatan meliputi 1,711 kes dalam kalangan masyarakat dan 515 kes melibatkan penghuni dormitori.
Terdapat juga 10 kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kemas kini media sekitar pukul 11.50 malam.
Lima kematian akibat koronavirus juga dilaporkan.
Daripada jumlah itu, empat adalah lelaki Singapura berusia 74, 73, 69 dan 79 manakala seorang lagi adalah wanita Singapura berumur 77 tahun.
MOH menyatakan dalam kalangan mereka, dua belum divaksin terhadap COVID-19 sama sekali. Seorang daripadanya sudahpun menerima suntikan dos pertama manakala baki dua pula sudah lengkap divaksin.
Kesemua mereka mengalami pelbagai masalah perubatan sedia ada, menurut MOH.
Kementerian itu bagaimanapun tidak memberi maklumat tentang masalah perubatan sedia ada yang dialami mereka.
Setakat Selasa, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 91,775 kes COVID-19 dan 85 kematian.
Sejauh ini, 30 kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada bulan September iaitu satu rekod bulanan baru.
KES DIMASUKKAN KE HOSPITAL
Terdapat 1,325 kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan berada di bawah pemantauan, menurut MOH.
Daripada jumlah itu, 209 kes mengalami sakit teruk yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 30 pula dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang tenat adalah 201 warga emas berusia atas 60 tahun.
SEKATAN MASYARAKAT LEBIH KETAT
Sekatan-sekatan baru masyarakat yang lebih ketat dikuatkuasakan pada Isnin (27 Sep) di tengah-tengah gelombang semasa penularan COVID-19 di Singapura.
Had bagi perhimpunan sosial dikurangkan kepada dua orang manakala saiz kumpulan untuk duduk makan di cawangan makanan dan minuman (F&B) pula disekat kepada hanya dua individu lengkap divaksin.
Bekerja dari rumah dilaksanakan sebagai aturan pilihan untuk para pekerja yang boleh berbuat sedemikian.
Semua sekatan itu akan dilaksanakan sehingga 24 Oktober, dengan semakan dibuat pada minggu kedua.
Para pelajar dari Darjah 1 hingga 5 juga mengikuti pembelajaran di rumah (HBL) sehingga 7 Oktober manakala pelajar Darjah 6 menjalani cuti belajar sehingga 29 September.
- CNA/FZ/fz
S'pura catat rekod 2,236 kes baru COVID-19, 5 lagi kematian
Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/s-pura-catat-rekod-2-236-kes-baru-covid-19-5-lagi-kematian/4660632.html
Comments
Post a Comment