Sultan Perak berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

 

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom, berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa mempengerusikan Jemaah Pemangku Raja Perak.

Menurutnya, ahli-ahlinya terdiri daripada  Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja,  Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

“Pelantikan Jemaah Pemangku Raja Perak ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Bahagian Kedua Perkara XV dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam berkata, Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke UK, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 September ini.


Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

Lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Disember 2019. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/sultan-perak-berkenan-lantik-jemaah-pemangku-raja-perak/

Comments