KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit baharu kanser di negara ini dijangka meningkat kepada lebih 66,000 orang setiap tahun menjelang 2030, berbanding anggaran 49,000 orang pesakit pada tahun lalu.
Ia susulan pesakit masih memilih rawatan tradisional atau alternatif sebaik saja mengetahui mereka menghidap penyakit itu, berbanding mendapatkan rawatan perubatan di fasiliti kesihatan dengan segera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 'pilihan' menyebabkan pesakit lewat dirawat dan dalam beberapa kes apabila tahap penyakit semakin meningkat, peluang untuk merawat pesakit semakin tipis.
"Selama beberapa dekad, ubat yang paling berkesan diberi subsidi hampir sepenuhnya oleh kerajaan bagi memastikan hasil perkhidmatan kesihatan terbaik.
"Rawatan baharu masih dapat diakses pesakit melalui model pembiayaan yang inovatif, skim akses pesakit dan ujian klinikal yang ditaja industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Maya Menambah Baik Akses Kepada Rawatan dan Penjagaan Kanser, anjuran Galen Centre dan The Cancer Care Working Group, hari ini.
Khairy berkata, walaupun COVID-19 menyebabkan gangguan yang teruk kepada sistem kesihatan negara, namun ia memberi peluang kepada kerajaan untuk memeriksa dan mempertimbang jurang yang wujud, kelemahan dan kekuatan infrastruktur penjagaan kesihatan.
"Kita mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan pengesanan awal menggunakan kit ujian kendiri bagi 'human papilloma virus' (HPV), yang membolehkan wanita mengatasi halangan untuk menjalani saringan, mengesan kanser servik pada tahap awal dan membawa pesakit untuk rawatan secepat mungkin.
"Kementerian Kesihatan (KKM) juga turut memperkenalkan ujian darah 'immunochemical faecal occult' sebagai sebahagian saringan kanser usus besar yang menyasarkan golongan berusia 50 hingga 75 tahun.
"Kanser usus besar adalah kanser kedua paling biasa dihidapi rakyat Malaysia, dengan 65 peratus daripadanya lewat dikesan," katanya.
Selain itu, Khairy berkata, cabaran bagi KKM ketika ini adalah untuk memastikan apa saja keputusan dibuat, demi kepentingan pesakit, penyediaan penjagaan yang berkualiti dan tiada sesiapa yang akan tercicir.
Katanya, sektor kesihatan dan bukan kesihatan perlu bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian inovatif serta tempatan baig menangani beban kanser yang semakin bertambah.
"Kita perlu melihat bajet kesihatan sebagai pelaburan, bukan perbelanjaan. Mereka yang lebih sihat dan bertahan daripada kanser dapat terus bekerja untuk meneruskan kehidupan mereka, memulihkan ekonomi dan negara.
"Pertimbangan yang serius amat perlu dalam pelaburan dan perancangan yang berkesan dalam pencegahan kanser, termasuk diagnosis yang tepat pada masanya.
"Ia juga menuntut kemajuan dalam terapi dan model rawatan bagi mengurangkan kematian dan meningkatkan kelangsungan serta kualiti hidup bagi mereka yang menghidap penyakit ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/876496/66000-pesakit-kanser-menjelang-2030?fbclid=IwAR2NpHlPWkwnXSJvNNdKRm4MxFMhOpkmZ7AdLHI9XwZnrybzgV8UzHw5W9Q
Comments
Post a Comment