8 warga emas S'pura meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19; 2,475 kes baru dilaporkan

 SINGAPURA: Singapura melaporkan 2,475 kes baru COVID-19 setakat tengah hari Isnin (4 Okt), meningkat semula selepas menyaksikan kemerosotan dua hari berturut-turut.

Lagi lapan warga Singapura berusia antara 60 dengan 94 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Mereka terdiri daripada empat lelaki warga Singapura dan empat wanita warga Singapura - tiga daripada mereka belum divaksinasi.

Semuanya mempunyai masalah perubatan sedia ada.

Kematian terbaru itu membawa bilangan keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 kepada 121.

Daripada 2,475 kes baru, 2,460 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,859 kes dalam masyarakat dan 601 penghuni dormitori.

Kes tempatan termasuk 402 warga tua yang berusia 60 tahun ke atas, menurut MOH dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar 11.00 malam.

Selain itu, 15 kes import dilaporkan.

Setakat Isnin, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura ialah 106,318 sejak pandemik melanda.

PESAKIT DI HOSPITAL

Kini terdapat 1,355 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

226 daripada mereka mengalami penyakit teruk yang memerlukan bantuan oksigen dan 35 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU). Daripada jumlah mereka yang sakit tenat, 221 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, 98.2 peratus kes tempatan tidak bergejala atau mengalami simptom ringan.

Sepanjang tempoh itu, 544 kes memerlukan bantuan oksigen dan 54 dirawat di ICU. 31.1 peratus daripada jumlah itu sudah lengkap divaksin manakala 68.9 peratus sama ada belum divaksin atau sudah menerima suntikan dos pertama.

KELOMPOK AKTIF

MOH menyatakan buat masa ini, ia sedang "memantau rapi" lapan kelompok aktif termasuk di Learning Vision@Changi Airport yang baru ditambah dalam senarai kementerian itu.

Penularan di pusat tajaka itu dikesan dalam kalangan dua kakitangan dan 10 murid, kata MOH.

Dormitori ASPRI-Westlite Papan dan PPT Lodge 1B serta dormitori Avery Lodge dan Tampines turut dimasukkan dalam senarai kelompok koronavirus.

Kelompok dormitori Avery Lodge yang mempunyai 445 kes jangkitan COVID-19 merupakan kelompok terbesar dengan enam kes baru.

Semua kelompok dormitori melibatkan penularan dalam dormitori yang sama dalam kalangan penghuninya, tanpa bukti terdapat jangkitan menular ke luar kawasan dormitori, menurut MOH.

VAKSINASI

Setakat Ahad, 82 peratus penduduk Singapura sudahpun lengkap menjalani rejimen vaksinasi mereka atau menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Lebih 9.2 juta dos diberikan di bawah program vaksinasi negara termasuk hampir 300,000 suntikan dos ketiga, menurut MOH.

Lagi 201,500 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga diberikan, meliputi 104,100 orang. 

- CNA/SU/ha
8 warga emas S'pura meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19; 2,475 kes baru dilaporkan
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/8-warga-emas-s-pura-meninggal-dunia-akibat-komplikasi-covid-19-2/4662658.html

Comments