98.18 peratus penjawat awam lengkap vaksinasi

 

KUALA LUMPUR: Jumlah penjawat awam yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 mencecah 98.18 peratus setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, ia bermakna jumlah penjawat awam yang belum mengambil pelalian berkenaan hanya berbaki 1.92 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta orang.

"Program vaksinasi ini masih lagi berjalan dan dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (PEJUANG-Sri Gading) yang meminta penjelasan mengenai status dan hak penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam itu.

Dr Abdul Latiff berkata, jika kerajaan mahu mewajibkan penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin untuk menerima pelalian itu, ia memerlukan peraturan dan libat urus supaya boleh dilakukan dengan cara yang berhemah.

Menjawab soalan tambahan Shahruddin mengenai bagaimana memastikan orang awam yang enggan mengambil vaksin tidak menjejaskan kesihatan orang awam lain, beliau menjelaskan, setakat ini kerajaan belum bercadang mewajibkan pengambilan vaksin seperti di negara lain contohnya Singapura dan Kanada.

Namun, katanya, kerajaan setakat ini menggunakan pendekatan melarang mereka yang enggan menerima vaksin menikmati kemudahan, termasuk tidak boleh makan di dalam kedai makan atau aktiviti lain yang boleh dinikmati mereka yang telah lengkap vaksin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

"Dengan cara begini lama-lama mereka akan sedar, mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat yang orang lain (dapat), mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan teruk jika dijangkiti COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan orang awam termasuk masyarakat Orang Asli bagi memastikan semua golongan sasar menerima vaksin. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/875263/9818-peratus-penjawat-awam-lengkap-vaksinasi

 

 

Comments