BRISBANE: Pengeluar teknologi perubatan Australia, Ellume, menarik balik hampir 200,000 kit ujian kendiri COVID-19 di Amerika Syarikat (AS), berikutan peningkatan kadar keputusan positif palsu.
Tahun lalu, kit ujian pantas keluaran Ellume itu menjadi produk pertama yang menerima kelulusan penggunaan kecemasan di AS.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, semalam mengeluarkan notis amaran berhubung keputusan positif palsu daripada kit ujian saringan kendiri COVID-19 jenama Ellume, yang puncanya dikenal pasti pada peringkat pengeluar.
"Keputusan negatif bagaimanapun tidak terjejas dengan isu pada peringkat pengeluar ini dan siasatan sedang dilakukan.
"FDA sedang bekerjasama dengan Ellume untuk menilai pemeriksaan tambahan pengeluaran syarikat berkenaan dan langkah pembetulan lain bagi memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap Ellume memberitahu AFP hari ini bahawa 195,000 daripada 3.5 juta kit ujian saringan itu yang dihantar ke AS dikenal pasti terkesan dengan isu terbabit.
Sesetengah ujian saringan itu disediakan Jabatan Pertahanan AS untuk diagihkan kepada orang ramai menerusi program kesihatan komuniti.
Pengasas Ellume, Sean Parsons, menerusi kenyataan 1 Oktober lalu, berkata arahan menarik balik produk itu dikeluarkan selepas keputusan positif palsu dilaporkan dalam sebahagian kit terbabit berkadar lebih tinggi daripada dijangkakan.
"Dengan penuh ikhlas, saya memohon maaf - dan maaf daripada seluruh syarikat - susulan tekanan atau kesulitan yang dialami orang ramai berikutan keputusan positif palsu.
"Pihak kami sudah mengenal pasti punca isu terbabit dan mengenakan langkah kawalan tambahan selain meneruskan operasi bekalan kit ujian kendiri kepada peruncit di AS.
"Kita sudah dan akan terus berusaha sehabis baik untuk memastikan ketepatan ujian dalam semua aspek," katanya. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/10/873005/australia-tarik-balik-keputusan-kit-ujian-kendiri-covid-19
Comments
Post a Comment