Buat ujian kendiri sebelum balik kampung - KJ

 

PUTRAJAYA: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga di luar lokaliti dinasihatkan menjalani ujian kendiri COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata apabila negara memasuki fasa endemik, kerajaan tidak lagi boleh melakukan sekatan jalan raya dan memeriksa individu berkenaan sudah lengkap divaksinasi atau belum.

"Kini tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely.

"Sekiranya anda ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri COVID-19 (RTK) air liur. Jaga keselamatan mereka.

"Hanya tinggal 1.6 peratus (belum divaksinasi lengkap) sebelum sempadan negeri dibuka. Kini Kementerian Kesihatan (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik.

"Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan ramai orang atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini data yang dipaparkan dalam laman web COVIDNOW menunjukkan sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima imunisasi COVID-19 manakala 94.5 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin.

Orang ramai yang ingin pulang ke kampung dinasihat melakukan ujian kendiri COVID-19 - Khairy. FOTO NSTP (Hiasan)

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/872967/buat-ujian-kendiri-sebelum-balik-kampung-kj

 

 

Comments