CITF-A mohon maaf remaja 12 tahun disuntik picagari kosong

 

KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati kejadian remaja berusia 12 tahun yang videonya tular ketika mengambil vaksin COVID-19, dikenal pasti berpunca akibat petugas kesihatan (penyuntik) tersalah ambil picagari kosong.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata siasatan dilakukan ProtectHealth mendapati, kejadian berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), di sini, pada Rabu lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata, CITF-A amat kesal dengan kejadian itu serta memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terbabit.

"Dalam kejadian 3.16 petang itu, petugas kesihatan berkenaan telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

"Petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas itu meletakkan sebentar picagari terbabit di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin.

"Dia tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja itu. Selepas selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.

"Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja itu.

"Selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

"Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan," katanya.

Tangkap layar video tular proses vaksinasi membabitkan remaja berusia 12 tahun dikenal pasti akibat petugas kesihatan (penyuntik) tersalah ambil picagari kosong.

Dr Noor Azmi turut menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan ketika bertugas atau 'human error', selain menjelaskan petugas kesihatan terbabit sudah diberi amaran supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur ditetapkan.

"Prosedur dalaman juga sudah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja sama ketika memberi suntikan.

"Ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/871333/citf-mohon-maaf-remaja-12-tahun-disuntik-picagari-kosong

 

Comments