Guru menang saman nahas dengan kereta perisai ATM

 

SEREMBAN: Seorang guru menang dalam tuntutan sivil di Mahkamah Majistret, terhadap pemandu kereta perisai Gempita AV8 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merempuh kereta dipandunya, dua tahun lalu.

Dalam tuntutannya, R Santhi, 52, turut menamakan ATM sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Majistret Naziah Mohd Alias membenarkan tuntutan sivil Santhi dengan sepenuhnya bagi ganti rugi khas dan am termasuk faedah dan kos.

Beliau memutuskan pemandu kereta perisai terbabit selaku defendan pertama, cuai sepenuhnya dalam kemalangan yang berlaku pada 4 Ogos 2019 selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan ketika perbicaraan.

Peguam N Naresh yang mewakili plaintif, menyifatkan keputusan itu memberi keadilan kepada anak guamnya selepas lebih dua tahun terbabit dengan kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan yang memihak anak guamnya itu bukan semata-mata kemenangan ganti rugi yang dituntut, tetapi keadilan dapat dipertahankan.

Katanya, kenderaan berat seperti kereta perisai yang mempunyai sudut pandangan yang terhad perlulah diiringi pengawal trafik daripada ATM sendiri atau dibantu polis trafik bagi mengawal lalu lintas supaya kenderaan berat itu tidak membawa risiko kepada pengguna jalan yang lain dan juga kerosakan harta benda.

"Secara tidak sengaja, pihak berkuasa yang sepatutnya mempertahankan rakyat boleh mencederakan rakyat sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil.

"Sekiranya tidak dapat memperuntukkan pengawal lalu lintas untuk konvoi seperti ini, sekurang-kurangnya jalan raya yang digunakan untuk konvoi seharusnya ditutup untuk kegunaan kenderaan awam sementara konvoi perisai ini menggunakan jalan berkenaan" katanya selepas keputusan itu diumumkan, hari ini.

Naresh berpendapat, sudah tiba masanya ATM meneliti semula prosedur konvoi yang membabitkan kenderaan besar seperti kereta perisai Gempita supaya tidak mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Sekiranya ada kawalan trafik daripada polis ataupun ATM sendiri, kemalangan itu semestinya tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Santhi ketika ditemui meluahkan rasa syukur atas kemenangannya itu dan ia sekaligus memberi keadilan kepadanya.

Jelasnya, kemalangan itu menyebabkan emosinya terganggu dan terpaksa menanggung rugi disebabkan kerosakan dan kecederaan yang dialami.

"Selama 17 tahun itulah kenderaan yang saya gunakan untuk berulang alik dan menjadi kereta kesayangan keluarga saya.

Peguam, N Naresh bersama anak guamnya, R Santhi (dua dari kanan), selepas keputusan tuntutan sivil di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini

"Saya bersyukur kerana selamat dalam kemalangan itu dan hanya alami kerosakkan harta benda dan cedera ringan sahaja," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, dilaporkan berkata, kemalangan jam 4.30 petang itu berlaku ketika kenderaan perisai itu dalam perjalanan dari Kem Batu 10, Kuantan, Pahang menuju ke Port Dickson.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/876436/guru-menang-saman-nahas-dengan-kereta-perisai-atm

 

 

Comments