Kes baru COVID-19 di S'pura cecah lebih 3,000 buat tiga hari berturut-turut; 3 lagi kematian

 SINGAPURA: Kes baru COVID-19 di Singapura terus menjangkaui 3,000 buat hari ketiga berturut-turut pada Khamis (7 Oct), dengan tiga lagi kematian akibat komplikasi koronavirus itu.

Penduduk yang meninggal dunia berusia antara 57 hingga 90 tahun melibatkan dua lelaki dan seorang wanita. Seorang daripada mereka belum divaksin sama sekali manakala lagi dua sudah divaksin. Kesemuanya mempunyai pelbagai masalah perubatan sedia ada.

Ini membawa bilangan keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 kepada 136.

Sejumlah 3,483 kes jangkitan baru dilaporkan setakat tengah hari Khamis, turun dari 3,577 kes yang dicatatkan semalam.

Dalam kalangan kes baru itu, 3,475 adalah kes jangkitan tempatan termasuk 2,783 kes dalam masyarakat dan 692 di dormitori pekerja hijrahan.

Sementara itu, lapan adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar jam 11.00 malam.

Setakat Khamis, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 116,864 kes COVID-19 sejak pandemik melanda.

KES DI HOSPITAL

Seramai 1,534 pesakit dimasukkan ke hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Ada 297 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen manakala 40 pula berada di unit jagaan rapi (ICU). Daripada jumlah pesakit yang sakit teruk, 281 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, terdapat 628 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 61 dimasukkan ke ICU. Daripada jumlah itu, 49.5 peratus lengkap divaksin dan 50.5 peratus sama ada belum divaksin atau sudah mendapatkan satu suntikan dos.

- CNA/FZ/fz
 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/kes-baru-covid-19-di-s-pura-cecah-lebih-3-000-buat-tiga-hari/4663794.html

 


 

Comments