SINGAPURA: Singapura melaporkan 2,057 kes baru COVID-19 setakat 12.00 tengah hari Ahad (3 Okt). Hari ini masuk hari kedua berturut-turut negara ini menyaksikan kemerosotan pada bilangan jangkitan baru.
Sementara itu, lagi enam kematian akibat komplikasi COVID-19 turut dilaporkan.
Daripada jumlah itu, lima adalah lelaki rakyat Singapura dan seorang lagi merupakan wanita warga tempatan, berusia antara 68 hingga 91 tahun.
Dalam kalangan mereka, dua belum divaksin sama sekali terhadap jangkitan COVID-19 manakala empat sudah lengkap divaksin. Lima daripada mereka mengalami masalah perubatan sedia ada, manakala satu kes yang belum divaksin tidak mempunyai sebarang masalah perubatan yang diketahui.
Angka korban di Singapura akibat COVID-19 kini seramai 113.
Daripada jumlah kes baru, 2,049 adalah penularan jangkitan tempatan meliputi 1,676 kes dalam masyarakat dan 373 penghuni dormitori.
Daripada jumlah itu, 430 adalah warga emas berusia atas 60 tahun, menurut MOH dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar 11.00 malam.
Selain itu, lapan kes import dilaporkan, semuanya dikesan sejurus tiba di Singapura.
Setakat Ahad, jumlah terkumpul kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura adalah 103,843 sejak pandemik melanda.
PESAKIT DI HOSPITAL
Kini terdapat 1,337 pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.
Dalam kalangannya, 250 kes sakit teruk yang memerlukan bantuan sokongan oksigen dan 35 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU). Daripada jumlah mereka yang tenat, 242 berusia 60 tahun ke atas.
Sepanjang 28 hari lalu, peratusan kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.1 peratus.
Sepanjang tempoh itu, 539 kes memerlukan bantuan oksigen dan 55 dirawat di ICU. Daripada jumlah itu, 50.2 peratus sudah lengkap divaksin dan 49.8 peratus sama ada belum divaksin atau sudah menerima suntikan dos pertama.
KELOMPOK AKTIF
MOH menyatakan buat masa ini, ia sedang "memantau rapi" sembilan kelompok aktif termasuk tujuh dormitori, Pasar Borong Pasir Panjang dan sebuah rumah jagaan.
Semua kelompok dormitori melibatkan penularan dalam dormitori yang sama dalam kalangan penghuninya, tanpa bukti terdapat penularan menjangkaui dormitori masing-masing, menurut MOH.
Tiga kes baru dikesan dalam kelompok Pusat Borong Pasir Panjang sekali gus membawa jumlah jangkitan kepada 240.
Daripada kes-kes itu, 221 adalah pekerja di pasar berkenaan, empat adalah pelawat perdagangan dan 15 merupakan anggota keluarga kes positif, menurut MOH.
VAKSINASI
Setakat Sabtu, 82 peratus penduduk Singapura sudahpun melengkapkan rejimen vaksinasi penuh mereka atau menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Lebih 9.2 juta dos diberikan di bawah program vaksinasi negara termasuk 279,787 suntikan dos ketiga, menurut MOH.
Lagi 201,185 dos vaksin-vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudahpun disuntik, meliputi 103,723 orang.
Kes baru COVID-19 di S'pura jatuh sekali lagi kepada 2,057; lagi 6 kematian dilapor
Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/eksklusif/corona-outbreak/kes-baru-covid-19-di-s-pura-jatuh-sekali-lagi-kepada-2-057-lagi/4662302.html
Comments
Post a Comment