KKM lulus dos penggalak vaksin Pfizer

 

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan(KKM) memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer sekurang-kurangnya enam  bulan selepas dos kedua. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 hari ini memberi kelulusan bersyarat itu kepada vaksin Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman. 

Katanya, pemberian dos penggalak bersyarat tersebut adalah sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua buat golongan berusia 18 tahun dan ke atas.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat  ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. 

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkat akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Vaksin Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021. 

Ia adalah vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini. – UTUSAN ONLINE 


https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/kkm-lulus-dos-penggalak-vaksin-pfizer/

Comments