Minggu depan penentu medan, strategi baharu – Noor Hisham

 

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan minggu hadapan adalah penentu kepada semua pihak untuk ‘bertempur’ di medan baru dengan strategi baru susulan kebenaran rentas negeri.


Beliau berkata, perkara itu hanya boleh diatasi sekiranya seluruh rakyat dapat menerapkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial. 

“Setiap daripada kita memainkan peranan untuk memastikan “Keluarga Malaysia” kita selamat dari Covid-19. 

“Prinsip panduan Kementerian Kesihatan adalah jelas dan kini tanggungjawab sosial adalah untuk melaksanakan, menerapkan dan mengamalkan SOP.

“Kita semua mesti mengetahui bahawa tindakan setiap individu mempunyai kesan terhadap bagaimana seseorang itu menguruskan Covid-19 dalam komuniti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Ahad lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri dan pembukaan sempadan negeri seluruh negara bermula Isnin lalu selepas peratusan rakyat Malaysia dewasa lengkap divaksinasi mencapai 90 peratus.

Dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang lama berpisah dan melancong. 

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman menjelang hujung minggu ini dinasihatkan untuk merancang bagi pematuhan SOP dan amalan norma baharu.

“Kita mesti mempunyai disiplin dan patuh terhadap SOP dengan menerapkan jarak sosial, mengambil semua langkah berjaga-jaga dan menjaga kebersihan diri dengan baik.

“Kita mesti memastikan semua orang mematuhi jarak yang selamat, terutama di tempat yang sesak dan terkurung. 

“Anda mungkin perlu menangani pengudaraan ruang untuk menjadikannya lebih selamat dengan pembersihan kawasan seperti pantri atau ruang solat (surau) dan hanya membenarkan sebilangan kecil untuk berkumpul pada satu-satu masa untuk memastikan keselamatan penjarakan sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/minggu-depan-penentu-medan-strategi-baru-noor-hisham/

Comments