[PARLIMEN] Kementerian Kesihatan perinci dos penggalak dalam masa terdekat

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memperincikan pemberian dos ketiga atau dos penggalak (booster) kepada penerima vaksin dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, untuk pemberian dos ketiga tersebut, ia akan diberi kepada kumpulan tertentu berisiko tinggi.


“Walaubagaimanapun benar ada berlaku penurunan (keberkesanan vaksin) setelah tempoh masa tertentu maka kerana itu kerajaan telah membuat keputusan untuk pemberian booster khususnya kepada kumpulan tertentu yang mempunyai risiko tinggi, keputusan telah dibuat dan perincian akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan ,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) meminta kerajaan menjelaskan sama ada booster akan diberi kepada penerima vaksin Sinovac susulan masih terdapat individu yang sudah lengkap dua dos masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19.

Jelas Ahmad Amzad lagi, kesemua vaksin yang diberi di Malaysia termasuk Pfizer, Sinovac, AstraZeneca dan CanSino berkesan mengurangkan jangkitan dan kemasukan ke hospital.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, pihaknya sedia memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada orang awam mulai awal bulan ini.

Katanya, kumpulan rentan atau golongan berisiko tinggi yang dikenal pasti kementeriannya akan diberi keutamaan menerima suntikan dos berkenaan.-UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/parlimen-kementerian-kesihatan-perinci-dos-penggalak-dalam-masa-terdekat/ 



Comments