SINGAPURA: Sebanyak 2,909 kes baharu dan lapan lagi kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, kes kematian membabitkan mangsa berusia antara 66 dan 96 tahun termasuk seorang wanita.
Di antara mereka, empat tidak divaksinasi, dua menerima satu dos dan dua lagi sudah lengkap dos imunisasi COVID-19.
MOH memaklumkan, kesemua mereka memiliki pelbagai latar belakang kesihatan.
Dengan angka itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian di republik berkenaan melonjak kepada 103 kes.
Perincian kes positif baharu di negara itu mendapati, sebanyak 2,897 adalah penularan jangkitan tempatan merangkumi 2,079 kes dalam komuniti dan 818 penghuni asrama.
Daripada jumlah kes harian itu, ia membabitkan seramai 556 warga tua berusia 60 tahun termasuk 12 kes import yang mana tujuh dikesan ketika tiba di Singapura dan lima lagi dikesan ketika di kuarantin di rumah.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu melonjak kepada 99,430 kes sejak pandemik itu meletus.
Berdasarkan kes aktif, 1,356 pesakit berada di wad hospital dengan 222 kes memerlukan alat bantuan oksigen, 34 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut MOH pihaknya sedang memantau 10 kluster aktif besar merangkumi lapan asrama, Pusat Borong Pasir Panjang termasuk rumah penjagaan.
Setakat Khamis lalu, 82 peratus populasi Singapura sudah lengkap vaksinasi, manakala 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/10/871390/singapura-rekod-hampir-3000-kes-baharu-covid-19
Comments
Post a Comment