PETALING JAYA: Hanya tinggal dua peratus untuk mencapai kadar lengkap 90 peratus vaksinasi populasi dewasa apabila semalam merekodkan jumlah 88 peratus.
Menurut laman CovidNow, sebanyak 20,603,249 atau 88 peratus rakyat berusia 18 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Selain itu, 94.4 peratus rakyat dewasa Malaysia pula menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Perkembangan itu memberi gambaran bahawa peluang kepada rakyat Malaysia untuk rentas negeri hampir mencapai sasaran sekali gus boleh pulang ke kampung halaman atau bercuti ke mana-mana destinasi dalam tanah air.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berbaki dua peratus untuk pembukaan rentas negeri dan rakyat Malaysia tidak perlu lagi mohon MyTravelPass untuk ke luar negara.
“88 peratus populasi dewasa telah lengkap vaksin. Ini menunjukkan dua peratus untuk pembukaan sempadan dan rakyat Malaysia tidak perlu lagi mohon MTP untuk mengembara ke luar negara,” ciap Khairy menerusi akaun Twitter beliau hari ini.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.
Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu. – UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/nasional/2021/10/tinggal-lagi-dua-peratus-kita-boleh-rentas-negeri/
Comments
Post a Comment