Tunda niat untuk hamil

 

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri disarankan menundakan kehamilan, terutama ketika tempoh pandemik COVID-19 sekiranya mereka mengalami penguncupan ekonomi atau mempunyai ketidakupayaan sosial.

Dalam keadaan sukar, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan secara menyeluruh, termasuk kos penjagaan dan membesarkan anak, nurseri serta tabungan masa depan, terutama jika salah seorang kehilangan pekerjaan dan lain-lain.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, berkata dalam keadaan sukar, lebih baik suami isteri berbincang secara mendalam mengenai perancangan untuk memiliki zuriat demi kesejahteraan keluarga.

"Kepentingan merancang keluarga amat meruncing dalam konteks pandemik ini yang mana jika berbuat demikian tidak bermakna mereka menolak anak, tetapi penting untuk memastikan kehamilan berlaku secara optimum.

"Jadi dalam soal ini, kedua-dua pihak perlu sependapat mengenai pencegahan kehamilan kerana pada umumnya kaedah semula jadi seperti kiraan waktu subur, membuang air mani di luar tetap berisiko (gagal) dan membuatkan wanita hamil," katanya pada Forum Perancang Keluarga yang disiarkan secara langsung di Facebook Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), baru-baru ini.

Forum turut menampilkan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan yang mengupas isu 'Pandemik Jangan Panik, Merancanglah dengan Baik'.

Dr Harlina Halizah berkata, meskipun pasangan sudah mengamalkan kaedah semula jadi akan timbul keadaan hamil tanpa dirancang berikutan kaedah diambil tetap berupaya membuatkan jutaan sperma memasuki organ reproduktif wanita.

"Begitu juga ibu yang menyusukan bayi mereka tetap berpotensi hamil lagi, walaupun tidak didatangi haid, terutama ibu yang mengepam susu dan tidak memberikan secara langsung kepada bayi berikutan tempoh empat hingga enam jam itu, boleh terjadi kehamilan tidak dirancang.

"Sementara bagi kaedah bukan semula jadi seperti prosedur pemandulan, pemotongan kedua saluran tiub fallopio wanita serta prosedur vasektomi bagi lelaki supaya tiada sperma dalam air mani boleh dilakukan," katanya.

Katanya, kaedah berbalik pula lazimnya mempunyai jangka masa pendek dan panjang seperti pil hormon, kombinasi pil, suntikan, tampalan, cecincin dalam vagina serta kaedah mekanikal menggunakan kondom, selain memasukkan alat dalam rahim.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kira-kira dua hingga tiga juta kehamilan tidak dirancang ketika pandemik COVID-19 ini disebabkan terputus bekalan pil perancang, jadi merancang keluarga adalah langkah perlu, terutama jika ada kekangan ekonomi supaya tidak berlaku kemudaratan lain.

"Dari sudut perubatan, merancang keluarga adalah tanggungjawab suami isteri untuk membuat keputusan mengenai kesesuaian masa, jarak kehamilan dan bilangan anak dikehendaki, sama ada dengan menggunakan kaedah kontraseptif atau rawatan kesuburan," katanya.

Menurut data WHO pula, perancangan keluarga dapat mencegah kira-kira satu pertiga kadar kematian berkaitan kehamilan serta 44 peratus kematian bayi, berikutan masa dan jarak kehamilan, iaitu sekurang-kurangnya dua tahun antara kelahiran diperlukan untuk mencegah hasil kehamilan yang buruk, termasuk kadar kelahiran bayi pramatang dan insiden malnutrisi serta bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, perancangan keluarga adalah kaedah yang efektif dan berkesan untuk memastikan kehidupan yang berkualiti bagi seorang wanita, meningkatkan taraf sosioekonomi serta strategi yang terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kematian ibu.

Dr Harlina Halizah berkata, di negara ini perkhidmatan perancang keluarga sudah diperkenalkan sejak 1970-an dan menjadi antara komponen utama perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Fokus perkhidmatan itu menjurus kepada perspektif kesihatan, iaitu bagi memastikan kesihatan ibu dan anak, seterusnya menjamin kesejahteraan keluarga.

Ada cabaran dalam penyampaian maklumat perancangan keluarga di negara ini dan menurut Kajian LPPKN kelima pada 2014, mendapati Malaysia menunjukkan kadar penggunaan kontraseptif terendah pada kadar 52.5 peratus berbanding negara Asia lain.

Kadar keperluan tidak tercapai juga pada paras tertinggi, iaitu 19.6 peratus dengan kadar wanita yang ingin mengehadkan kehamilan tanpa penggunaan kontraseptif ialah pada 13.4 peratus, manakala kadar wanita menjarakkan kehamilan tanpa apa-apa kaedah kontraseptif (6.2 peratus), iaitu bermakna, satu daripada lima wanita di negara ini keperluannya tidak tercapai.

Bagaimanapun, Dr Harlina Halizah berkata, pengguguran janin bukanlah kaedah merancang keluarga dan data akhir-akhir ini mengenai kehamilan remaja menurun, sesuatu mencemaskan berikutan mereka mungkin mengambil pil pengguguran tanpa nasihat doktor.

"Sebagai pengamal perubatan, kaedah pengguguran tidak harus dilihat kaedah perancang keluarga. Namun, sekarang ada menggugurkan janin guna ubat, lebih mudah dan murah dengan sekadar mengambil pil sahaja.

"Pada kami, kaedah itu tidak sepatutnya kerana gugur kandungan walaupun di klinik tetap membabitkan prosedur pembedahan, anesthesia, jadi apabila seseorang itu hamil tanpa kemahuan, dia datang klinik dan akan berulang setiap kali kehamilan.

"Begitu juga pil menggugurkan kandungan yang tidak dilesenkan di negara ini, tetapi membimbangkan kerana wanita hamil luar nikah boleh mendapatkannya secara mudah dari negara jiran tanpa mereka peroleh dahulu nasihat perubatan," katanya.

Katanya, ada empat 'A' kehamilan remaja yang tidak dikehendaki akan mendorong perbuatan abortion (pengguguran), acceptance (penerimaan), adoption (pengangkatan) dan abandon (pembuangan) bayi.

Sudah lakukan kaedah tertentu elak kehamilan, tetapi ia tetap membuatkan jutaan sperma memasuki organ reproduktif wanita.- Foto hiasan

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan isu kehamilan dan pengguguran sering menjadi persoalan, kerana ada keadaan pengguguran itu termasuk dalam kategori pembunuhan, kecuali faktor kesihatan, maut atau kritikal.

"Justeru, peranan pakar perubatan untuk menasihatkan suami isteri, dan daripada perspektif Islam, memang dituntut supaya membina keluarga atau berkahwin, jadi soal pengguguran adalah hal lain.

Sebaiknya menjadi Rasulullah sebagai ikutan dan model hidup, itu sebaiknya," katanya.

https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2021/10/873375/tunda-niat-untuk-hamil

 

 

 

 

Comments