PARIS: Suntikan imunisasi menggunakan vaksin Pfizer didapati sangat berkesan dalam mengekang gejala jangkitan COVID-19 yang teruk, termasuk varian Delta bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Dapatan itu hasil kajian penyedia perkhidmatan kesihatan dan Pfizer, Kaiser Permanente, apabila meneliti rekod 3.4 juta penduduk di selatan California dengan satu pertiga daripadanya mempunyai sejarah imunisasi lengkap antara Disember 2020 hingga Ogos lalu.
Selepas purata tempoh antara tiga hingga empat bulan, individu yang lengkap vaksinasi didapati masih memiliki perlindungan berkadar 73 peratus bagi mengekang jangkitan dan 90 peratus untuk terhindar daripada dimasukkan ke hospital.
Meskipun perlindungan terhadap jangkitan varian Delta menyusut sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima bulan, kadar menangani kemasukan ke hospital membabitkan kes semua varian kekal tinggi sepanjang tempoh kajian.
Mengikut kajian itu, dapatan terbabit selari data awal yang dikemukakan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Penulis kajian berkata, pengurangan kadar perlindungan daripada mendapat jangkitan berkemungkinan berpunca daripada penyusutan keberkesanan vaksin, berbanding kes varian yang dikatakan 'kalis' vaksin.
"Dapatan kajian ini mengetengahkan kepentingan untuk memantau keberkesanan vaksin dalam tempoh tertentu dan mengesyorkan keperluan pemberian dos penggalak bagi meningkatkan kadar perlindungan asas seperti yang terbentuk pada awal program imunisasi," katanya.
Pada Ogos lalu, AS meluluskan pemberian dos penggalak kepada individu yang mempunyai masalah sistem pertahanan badan, manakala Perancis mengambil keputusan mengagihkan suntikan dos ketiga kepada semua golongan tua.
Israel pula mengambil langkah lebih drastik dengan menawarkan suntikan dos penggalak dalam tempoh lima bulan selepas dos kedua kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu bagaimanapun, mendapati perlindungan semasa daripada vaksin adalah mencukupi bagi mengekang jangkitan COVID-19.
Justeru, pemberian dos penggalak untuk semua penduduk disifatkan sebagai tidak perlu.
WHO turut menggesa supaya pemberian dos penggalak ditangguhkan buat sementara waktu sehingga hujung tahun ini bagi merungkai isu ketidaksaksamaan pengagihan vaksin antara negara kaya dan miskin. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/10/872469/vaksin-pfizer-berkesan-cegah-jangkitan-bagi-tempoh-6-bulan-kajian
Comments
Post a Comment