111 terkorban dalam pertempuran tiga hari di Marib (Yaman)

 

DUBAI: Pertempuran antara pemberontak dan pejuang Yaman menyebabkan sekurang-kurangnya 111 terkorban di Marib dalam tempoh tiga hari.

Menurut sumber prokerajaan, pertempuran itu adalah serangan baharu oleh pemberontak Huthi di wilayah yang menjadi rebutan di utara Yaman sejak Februari lalu.

"Pada pertempuran Khamis hingga Ahad, seramai 29 anggota prokerajaan dan sekurang-kurangnya 82 pemberontak terkorban," katanya kepada AFP.

Namun, sehingga kini pihak pemberontak masih belum mengesahkan jumlah berkenaan.

Pegawai pemerintah Yaman menyatakan, sejak Khamis lalu pihak Huthi sekutu kuat Iran itu telah melakukan serangan intensif dari utara, selatan dan barat, namun mereka gagal menyekat kemaraan pejuang kerajaan yang disokong oleh serangan udara dari gabungan tentera yang dipimpin oleh Arab Saudi.

"Kawasan ini menyaksikan pertempuran sengit di tengah tembakan artileri dari kedua belah pihak dan serangan udara pihak sekutu," kata seorang pegawai tentera kerajaan.

Penguasaan wilayah Marib yang kaya dengan minyak akan menguatkan kedudukan dan tuntutan puak Huthi dalam rundingan damai, namun pertempuran terbaru itu menimbulkan kebimbangan krisis kemanusiaan, berikutan penduduk Yaman kini melarikan diri ke kawasan selamat di wilayah lain di negara itu.

Konflik Yaman meletus pada tahun 2014 ketika puak Huthi merebut ibu kota Sanaa, mendorong campur tangan Arab Saudi menyokong pemerintah negara itu pada tahun berikutnya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Washington mendesak supaya perang itu dihentikan, puak Huthi pula menuntut pembukaan semula lapangan terbang Sanaa, yang ditutup di bawah sekatan Arab Saudi sejak 2016, sebelum gencatan senjata atau rundingan diadakan.

Selain serangan berdarah di Marib, puak Huthi juga meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu yang disasarkan ke Arab Saudi, termasuk kemudahan minyaknya.

Bulan ini, utusan PBB ke Yaman, Martin Griffiths memberitahu Majlis Keselamatan usahanya selama tiga tahun untuk menghentikan peperangan adalah 'sia-sia'.

Pertempuran antara pemberontak dan pejuang Yaman menyebabkan sekurang-kurangnya 111 terkorban di Marib dalam tempoh tiga hari. - Foto AFP

Pertempuran itu telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan sekitar 80 peratus rakyat Yaman bergantung kepada bantuan, dalam apa yang disebut oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Perang itu juga menyebabkan perpindahan berjuta-juta orang dan mendedahkan mereka kepada krisis kebuluran. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/832725/111-terkorban-dalam-pertempuran-tiga-hari-di-marib

 

 

Comments