DHAKA: Sekurang-kurangnya tujuh maut, manakala 50 lagi cedera susulan letupan yang meranapkan bangunan tiga tingkat di bandar Dhaka, semalam, dipercayai berpunca akibat saluran paip gas, kata pegawai Bangladesh.
Polis berkata, letupan sangat kuat itu turut memecahkan tingkap sekurang-kurangnya empat bas yang sedang bergerak, mengakibatkan puluhan penumpang cedera.
Ketua Polis Dhaka, Shafiqur Rahman, berkata sekurang-kurangnya tujuh maut walaupun pihak bomba menjelaskan hanya tiga terkorban dalam kejadian itu, selain kedua-dua pihak memaklumkan 50 mangsa cedera.
Pesuruhjaya Bersama Polis Metropolitan Dhaka, Syed Nurul Islam, berkata punca letupan akan disiasat pegawai bomba di lokasi kejadian, tetapi peringkat awal ia dipercayai akibat gas metana pekat serta terkumpul di saluran paip dan meletup di aras bawah.
Beliau menafikan ia ada kaitan dengan elemen jenayah, selain menjelaskan bandar Bangladesh pernah menyaksikan beberapa kejadian letupan serupa, beberapa tahun lalu.
Sementara itu, beberapa saksi berkata, letupan itu meranapkan bangunan yang menempatkan kediaman, kedai elektronik dan beberapa kedai lain.
Polis berkata, sekurang-kurangnya dua bangunan bersebelahan rosak sebahagiannya.
Doktor di Hospital Sheikh Hasina Burn, Samanta Lal Sen, berkata sekurang-kurangnya empat yang cedera dalam keadaan kritikal dan kini sedang dirawat.
Unit polis pemusnah bom dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kami sedang meneliti punca letupan dan aras bawah bangunan terbabit musnah," kata ketua unit, Rahmatullah Chowdhury kepada The Daily Star. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/832858/7-maut-50-cedera-akibat-letupan-di-bangladesh
Comments
Post a Comment