Campuran 2 vaksin hasilkan lebih antibodi

 

LONDON: Campuran vaksin COVID-19 daripada dua pengeluar yang berbeza menghasilkan daya tahan yang lebih baik menurut satu kajian dijalankan Universiti Oxford.

Kajian keberkesanan pengambilan vaksin jenis Pfizer bagi suntikan pertama dan AstraZeneca bagi dos kedua selepas empat minggu menunjukkan kepekatan antibodi yang tinggi terhadap protein coronavirus.

Kajian itu, yang digelar Com-COV, mendapati pemberian campuran vaksin daripada dua pengeluar yang berbeza dalam apa saja kombinasi bagi setiap dos suntikan mampu menghasilkan antibodi yang lebih berbanding biasa.

Data itu diperoleh daripada beberapa negara Eropah yang mula menawarkan vaksin alternatif AstraZeneca sebagai suntikan kedua selepas vaksin terbabit dikatakan boleh menyebabkan pembekuan darah.

Profesor di Universiti Oxford, Matthew Snape, yang mengetuai kajian itu, berkata dengan penemuan itu, proses inokulasi membabitkan vaksin berbeza dapat diberikan jika timbul masalah kekurangan bekalan.

"Namun, ia masih tidak cukup kuat bagi peralihan secara besar-besaran bagi menggunakan campuran vaksin kerana memerlukan kelulusan klinikal.

Ini pasti menggembirakan apabila tindak balas antibodi dan sel-T ini sesuai dengan suntikan campuran vaksin serta terbukti lebih berkesan tetapi saya rasa lebih baik bertahan dengan cara pemberian sedia ada.

"Melainkan wujud alasan yang sangat kukuh dan benar-benar terbukti berfungsi dengan baik," katanya merujuk kepada pemberian vaksin sedia ada yang sudah melalui ujian klinikal.

Tindak balas antibodi tertinggi dilihat pada orang yang menerima dua dos vaksin Pfizer, dengan kedua-dua jadual campuran menghasilkan tindak balas yang lebih baik berbanding pemberian dua dos vaksin AstraZeneca.

Suntikan vaksin AstraZeneca diikuti oleh Pfizer menghasilkan tindak balas sel T terbaik, dan juga tindak balas antibodi yang lebih tinggi daripada Pfizer, diikuti oleh AstraZeneca.

Sel-T atau T lymphocyte, adalah sel darah putih yang penting untuk sistem imun badan yang bertindak balas terhadap antigen atau bendasing dalam badan.

Kombinasi dua vaksin itu diuji ke atas 830 penerima yang diberikan dalam tempoh selang empat minggu.

Com-COV juga kini diuji untuk pemberian dalam tempoh selang 12 minggu dan Snape berkata suntikan vaksin AstraZeneca diketahui menghasilkan tindak balas daya tahan yang lebih baik dengan selang waktu yang lebih lama antara dos.

Di Britain, dicadangkan tempoh selang lapan minggu antara setiap dos suntikan diberikan kepada mereka yang berusia 40-an ke atas dan jurang 12 minggu untuk kumpulan umur yang lain.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan England, Jonathan Van-Tam, berkata tidak ada keperluan untuk mengubah pemberian vaksin di United Kingdom (UK) pada masa ini memandangkan kedudukan bekalan vaksin stabil

namun, beliau menegaskan pemberian setiap dos vaksin selang 12 minggu sudah pasti mempengaruhi keputusan mengenai kelancaran program vaksinasi pada masa depan.

Lebih 80 peratus orang dewasa di Britain kini sudah menerima satu dos vaksin COVID-19 dan 60 peratus diberikan dos kedua suntikan. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/833618/campuran-2-vaksin-hasilkan-lebih-antibodi

 

 

Comments