India siasat penipuan vaksin COVID-19

 

MUMBAI: Polis hari ini memaklumkan sekitar 2,000 penduduk di bandar itu divaksinasi dengan suntikan COVID-19 palsu.

Selain itu, 500 orang lagi, segelintir daripada mereka dalam kalangan orang kurang upaya, berkemungkinan turut menerima nasib sama.

Kadar vaksinasi di India mencatatkan peningkatan mendadak minggu ini selepas kerajaan mengumumkan suntikan percuma berikutan kadar kes yang semakin kritikal pada April dan Mei.

Menurut Polis di Mumbai, 2,000 penduduk yang menyangka mereka sudah divaksinasi itu sebenarnya cuma disuntik dengan larutan 'saline' atau air garam.

Susulan itu, 10 individu ditahan termasuk dua doktor hospital swasta di hab kewangan itu, kata polis dalam satu sidang media.

Menurut laporan media, suntikan itu dilakukan di sembilan lokasi berbeza.

Sementara itu, polis di Kolkata menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai penjawat awam dan mengaku mempunyai kelayakan ijazah sarjana genetik, kerana dilapor menganjurkan lapan kem vaksinasi palsu.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 250 penduduk kurang upaya dan golongan transgender divaksinasi di satu lokasi dengan jumlah keseluruhan sekitar 500 orang lagi disyaki sudah diberi suntikan palsu sekitar bandar itu.

Jurucakap rasmi Kolkata, Atin Ghosh, berkata botol yang dirampas itu menggunakan label palsu kononnya mengandungi vaksin COVID-19, AstraZeneca, yang dijenamakan semula di India sebagai Covishield.

"Kami mendapati label Covishield dilekatkan di atas label lain iaitu Amikacin Sulphate 500 miligram (mg), iaitu antibiotic yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria di saluran kencing, tulang, otak, paru-paru dan darah," katanya kepada AFP.

Pendedahan mengenai penipuan itu dibuat oleh seorang aktres yang juga ahli politik, Mimi Chakraborty, yang menerima suntikan itu di salah sebuah kem dan merasa ragu-ragu serta memaklumkannya kepada pihak polis.

Polis merampas beberapa kad pengenalan palsu daripada suspek, salah seorang menyamar sebagai pegawai Kementerian Penerangan dan ada yang mengaku pesuruhjaya bandar berkenaan.

Kereta dinaiki suspek turut menggunakan pelekat kerajaan Kolkata.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai kesihatan Kolkata, Debashis Barui, berkata kebanyakan yang menerima suntikan palsu kini berada dalam keadaan panik dan bimbang kemungkinan terdapat kesan sampingan.

Penumpang berbaris bagi menjalani ujian COVID-19 sejurus tiba di stesen kereta api Mumbai di India di mana lebih 2,000 penduduknya disyaki disuntik vaksin palsu. - Foto EPA

"Sekiranya keadaan membimbangkan, pihak berkuasa bandar ini akan menyediakan kem perubatan di kawasan berkenaan untuk merawat mereka yang disuntik dengan vaksin palsu," katanya kepada AFP.

Salah seorang mangsa, Ruma Sikdar, 35, berkata dia merasa mengantuk dan sakit di bahagian lengan selepas menerima suntikan vaksin palsu berkenaan.

"Apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah bagaimana untuk mendapatkan dos sebenar sebelum berlakunya gelombang ketiga COVID-19," katanya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/832159/india-siasat-penipuan-vaksin-covid-19

 

Comments