'Kulat hitam': India lapor lebih 40,000 jangkitan, 3,000 kematian

NEW DELHI: India melaporkan 40,845 kes jangkitan 'kulat hitam' yang sudah meragut lebih 3,000 nyawa, setakat ini, kata Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan, seramai 3,129 orang meninggal dunia akibat penyakit itu," katanya dalam satu taklimat, lapor Sputnik.

Sebanyak 32 peratus pesakit terbabit adalah berusia antara 18 hingga 45 tahun, 45 hingga 60 tahun (42 peratus) dan 60 tahun ke atas (24 peratus).

Kebanyakan kes dikesan di Maharashtra, Kerala, Tamil Nadu, Bengal Barat dan Odisha, yang turut melaporkan peningkatan jangkitan COVID-19.

(Gambar fail) India melaporkan lebih 40,000 kes jangkitan ‘kulat hitam’, setakat ini. - FOTO AFP

'Mucormycosis' atau 'kulat hitam' merupakan jangkitan kulat yang menyerang sinus, otak serta paru-paru, dan penyakit itu dikatakan mempunyai kadar kematian 50 peratus.

Pesakit diabetes atau mereka yang mempunyai imuniti rendah selepas dijangkiti penyakit lain, termasuk COVID-19, berisiko tinggi untuk dijangkiti 'mucormycosis'. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/06/833410/kulat-hitam-india-lapor-lebih-40000-jangkitan-3000-kematian

 

Comments