KATHMANDU: Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck sanggup meredah perjalanan dengan berjalan kaki, menggunakan kereta dan kuda ke kawasan terpencil demi memastikan rakyatnya terhindar daripada pandemik Covid-19.
Lapor Reuters, raja itu sanggup meredah hutan yang dipenuhi lintah dan ular, berjalan kaki di gunung dan di kuarantin beberapa kali di hotel.
Kesan daripada usaha raja berusia 41 tahun itu menyaksikan angka kematian akibat wabak itu hanya mencatatkan satu kes sahaja sedangkan berjiran dengan India yang merekodkan jumlah kematian mencecah ratusan ribu mangsa.
Perdana Menteri Bhutan, Lotay Tshering berkata, raja itu sanggup melakukan perjalanan jauh demi menyedarkan orang ramai tentang pandemik.
Katanya, peringatan dengan penuh lemah lembut itu menyebabkan orang ramai menghormati dan mengambil tindakan serius.
“Kehadiran raja jauh lebih hebat daripada sekadar mengeluarkan peraturan awam kepada penduduk tempatan.
“Ketakutan terbesar raja adalah sekiranya wabak itu merebak seperti api yang membakar hutan dan ketika itu sukar untuk dihapuskan,” katanya.
Raja itu sering memuat naik aktivitinya semasa pandemik dalam saluran media sosial rasmi Facebook dan Instagram.
Dalam beberapa minggu terakhir, raja itu berjalan kaki selama lima hari yang perlu meredah ketinggian sehingga 4,343 meter demi mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan barisan hadapan di kawasan terpencil.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/asia/2021/06/raja-bhutan-redah-hutan-gunung-bantu-rakyat-fahami-covid-19/
Comments
Post a Comment