JOHOR BAHRU: Tindakan kerajaan membenarkan sektor kredit komuniti atau pemberi pinjaman wang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi gambaran salah kepada rakyat.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, hal itu kerana perkhidmatan terbabit hanya akan menambah beban kewangan rakyat.
Menurut beliau, sebaliknya perkara yang paling diharapkan rakyat ketika ini adalah sokongan kewangan termasuk moratorium.
“Sewaktu penguatkuasaan PKP, bisnes tidak dapat berjalan seperti biasa hingga menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan hilang mata pencarian. Rakyat pada masa ini mengharapkan moratorium serta bantuan sokongan kewangan yang lain.
“Kerajaan tidak boleh dilihat menggalakkan rakyat untuk terus menambah hutang. Ini satu gambaran yang culas dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu, tindakan terbabit juga memberi gambaran salah terhadap pendekatan diambil kerajaan dalam menangani isu ekonomi rakyat yang terkesan pada fasa pandemik ketika ini.
“Rakyat berharap kerajaan tangani isu Covid-19 dengan segera dan berkesan. Soal pembekalan vaksin lebih cepat, pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan sebagainya.
Dengan kerajaan mengambil tindakan yang pantas, sekurang-kurangnya sektor-sektor ekonomi rakyat boleh dibuka dan dipulihkan dengan segera,” jelasnya.
Sheikh Umar turut memberitahu, kerajaan sepatutnya merangka pelan pemulihan ekonomi yang lebih inklusif dengan mengemukakan jalan keluar, bukannya menambah beban ekonomi rakyat.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/rakyat-mahu-moratorium-sokongan-kewangan-bukan-tambah-hutang/
Comments
Post a Comment