WASHINGTON: Kadar vaksinasi golongan muda di Amerika Syarikat (AS) lebih rendah, sekali gus memperlahankan kadar capaian berbanding kumpulan umur lain, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, semalam.
Menurut kenyataan CDC, jika keadaan itu berterusan hingga Ogos, kadar capaian vaksin bagi golongan berusia 18 tahun hingga 29 tahun di AS tidak akan dicapai berbanding golongan dewasa dan warga emas.
CDC berkata, lebih banyak usaha diperlukan bagi mempertingkatkan kadar vaksinasi kepada golongan muda bagi mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian akibat COVID-19.
Menurut analisis kadar vaksin yang diterbitkan semalam dalam Laporan Morbiditi dan Kematian Mingguan CDC, daripada 57 peratus golongan dewasa Amerika yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 22 Mei, capaian paling tinggi adalah kalangan individu berusia 65 tahun ke atas sementara yang terendah pula, adalah golongan berusia 18 hingga 29 tahun,
Menurut laporan itu, kadar vaksinasi terendah adalah membabitkan golongan berpendapatan rendah, golongan dewasa berkulit hitam berusia antara 18 hingga 39 tahun dengan tahap pendidikan rendah, tidak mempunyai insurans kesihatan dan tinggal di pinggir bandar besar.
Kaji selidik itu mendapati bahawa hampir satu daripada empat orang dewasa berusia antara 18 dan 39 tahun berkata, mereka mungkin atau pasti tidak akan diberi vaksin semasa tempoh tinjauan.
Program vaksinasi rakyat Amerika bermula Disember tahun lalu dan usaha awal itu ditumpukan kepada kumpulan berisiko tinggi tertentu seperti pekerja penjagaan kesihatan dan warga emas.
Ia kemudian diperluaskan ke golongan dewasa Amerika berusia 18 tahun ke atas, mulai 19 April lalu.
Dalam usaha membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan orang muda, CDC turut melaporkan, kerajaan AS menawarkan program vaksinasi di tempat kerja, cuti berbayar untuk vaksinasi, mewujudkan pusat pemberian vaksinasi bergerak dan hadir terus tanpa janji temu ke klinik dengan waktu yang fleksibel. -AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/06/830789/ramai-golongan-muda-enggan-divaksin
Comments
Post a Comment