WHO gesa terus pakai pelitup muka selepas divaksin

 

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa mereka yang sudah divaksin terus mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai pelitup muka.

Ini berikutan kebimbangan penularan jangkitan varian baharu COVID-19 yang lebih pantas menular termasuk dalam kalangan yang sudah disuntik vaksin.

Sebelum ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berkata rakyat negara itu yang sudah menerima vaksin lengkap Mei lalu tidak perlu lagi memakai pelitup muka atau untuk menjaga jarak 1.8 meter dari orang lain.

Agensi itu juga melonggarkan syarat dalam ujian saringan dan kuarantin.

Mengulas amaran yang dikeluarkan WHO mengenai varian baharu, jurucakap CDC menyatakan semuanya berasaskan kepada panduan sedia ada dan tiada petunjuk akan berlaku sebarang perubahan.

Jangkitan varian baharu COVID-19, dikenali sebagai varian delta, pertama kali dikesan di India dan kini tersebar di 85 negara.

Di AS, penyebaran varian delta meningkat berlipat ganda dalam dua minggu dan satu daripada setiap lima kes membabitkan jangkitan varian baharu ini.

Pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Dr Anthony Fauci, berkata varian baharu itu adalah 'ancaman terbesar' dalam usaha menyingkirkan virus itu di negara berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah (Akses Kesihatan) WHO, Mariangela Simoa, menekankan bahawa mereka yang sudah menerima vaksin perlu terus mengamalkan peraturan pencegahan jangkitan.

Ia termasuk terus memakai pelitup muka, mengelakkan kawasan sesak, menjaga jarak sosial, memastikan persekitaran dan pengudaraan yang baik, membasuh tangan dengan kerap serta mengelakkan bersin atau batuk berhampiran orang lain.

Penasihat kanan di WHO, Dr Bruce Aylward, berkata adalah penting untuk terus mengamalkan langkah berjaga-jaga walaupun sudah menerima vaksin sepenuhnya.

"Ini kerana anda mampu menyekat penyebaran jangkitan, namun mungkin sebenarnya anda tidak dilindungi sepenuhnya," katanya. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/06/833656/who-gesa-terus-pakai-pelitup-muka-selepas-divaksin

 

 

Comments