20 maut, 300,000 terperangkap akibat banjir di Bangladesh

 

COX'S BAZAR: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan monsun meragut 20 nyawa selain memerangkap 300,000 penduduk kampung di tenggara Bangladesh.

Turut terbunuh adalah enam etnik Rohingya di kem pelarian sepanjang sempadan Bangladesh-Myanmar, menempatkan sekitar sejuta pelarian dari Myanmar, yang dibadai hujan lebat sejak Isnin lalu.

Pentadbir daerah, Mamunur Rashid, berkata banjir menyebabkan lebih 300,000 penduduk terperangkap di Cox's Bazar dan sekurang-kurangnya 70 kampung tenggelam.

Kaunselor di kawasan pedalaman, Jhilwanja Union, Tipu Sultan, memberitahu AFP menerusi telefon bahawa sekurang-kurangnya 20 disahkan maut manakala sekitar 36,000 orang dipindahkan ke sekolah dan pusat perlindungan taufan.

Gambar menunjukkan banjir di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh selepas hujan lebat berterusan selama tiga hari. - Foto EPA

"Banyak kediaman ditenggelami air, menyebabkan ribuan orang tidak dapat meninggalkan rumah sejak tiga hari lalu, jalan dinaiki air," katanya.

Awal minggu ini, Bangladesh memindahkan 10,000 pelarian Rohingya dari kem sekitar Cox's Bazar yang dilanda ribut.

Pekerja kemanusiaan berkata perintah berkurung akibat COVID-19 menyebabkan hanya bantuan terhad dapat disalurkan kerana tiada akses disekat. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/845326/20-maut-300000-terperangkap-akibat-banjir-di-bangladesh 

 

Comments