6 maut pesawat peribadi terhempas di Haiti

 

PORT-AU-PRINCE: Enam maut apabila pesawat peribadi terhempas di selatan ibu kota Haiti, Port-au-Prince, kata pihak berkuasa tempatan semalam.

Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang di sini pada jam 6:57 petang kelmarin dan sepatutnya tiba di Jacmel, di pantai selatan Haiti, sekitar satu jam kemudian, menurut Pejabat Penerbangan Awam Nasional (NCAO).

"Pesawat itu terhempas dalam perjalanan dengan enam orang di dalamnya," kata laporan kejadian NCAO.

Koordinator Perlindungan Sivil Jabatan Ouest Haiti, Gutenberg Destin, mengesahkan kepada AFP bahawa keenam-enam orang yang berada di dalamnya meninggal dunia.

Gambar hiasan

"Sekumpulan pakar, dengan bantuan polis, petugas perlindungan sivil dan pihak berkuasa setempat bekerja keras untuk sampai ke tempat nahas, di lokasi yang sulit untuk diakses," menurut NCAO.

Punca kemalangan masih belum dapat dikenal pasti.

Penerbangan sewa pesawat peribadi ke pantai peranginan Jacmel menjadi semakin popular dan hanya sebilangan kecil penduduk Haiti yang mampu membayarnya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/07/835249/6-maut-pesawat-peribadi-terhempas-di-haiti 

 

Comments