RIYADH: Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menolak tuduhan mereka menggunakan perisian risikan Pegasus yang dibekalkan Israel, untuk mengintip wartawan dan aktivis hak asasi manusia.
Kementerian Luar UAE berkata, dakwaan negara itu antara sebilangan negara yang melakukan pengawasan yang menyasarkan wartawan dan individu adalah tidak berasas.
"Tuduhan seperti itu benar-benar palsu," katanya dalam kenyataan, semalam.
Rabu lalu, Agensi berita rasmi SPA Arab Saudi melaporkan seorang pegawai negara itu menafikan tuduhan yang baru-baru ini dilaporkan di media, sebuah entiti di kerajaan Arab Saudi menggunakan perisian untuk memantau panggilan telefon.
Sumber itu menambah, tuduhan itu tidak benar, malah dasar kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan amalan terbabit.
Arab Saudi dan UAE antara beberapa kerajaan di seluruh dunia yang dituduh menggunakan perisian intip Pegasus untuk memantau kegiatan pembangkang dan pengkritik lain, susulan senarai 50,000 sasaran pengawasan yang berpotensi untuk kumpulan hak asasi dibocorkan.
Antara kumpulan terbabit, Amnesty International dan Forbidden Stories yang berpusat di Paris, bekerjasama dengan sebilangan syarikat media, termasuk Washington Post, The Guardian dan Le Monde di Perancis untuk menganalisis dan membuat senarai sasaran risikan.
Perisian risikan Pegasus keluaran Kumpulan NSO dari Israel mampu menghidupkan kamera atau mikrofon telefon serta mengumpulkan datanya, menjadi berita utama sejak 2016, ketika penyelidik menuduhnya membantu mengintip pembangkang di UAE.
Syarikat teknologi Israel itu mempunyai 850 pekerja, NSO menegaskan perisiannya hanya bertujuan untuk kegunaan memerangi keganasan dan jenayah lain, sambil menyatakan penggunaan lain adalah kerja 'penyangak'.
Dakwaan itu dikritik kumpulan hak asasi manusia Amnesty International.
"Perisian pengintip NSO senjata pilihan bagi kerajaan yang menindas yang berusaha untuk mendiamkan wartawan, menyerang aktivis dan menghancurkan perbezaan pendapat, meletakkan banyak nyawa dalam bahaya," kata ketua Amnesty Agnes Callamard dalam satu kenyataan.
UAE menormalisasikan hubungannya dengan Israel dalam perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat tahun lalu, bagaimanapun Arab Saudi masih tidak mempunyai hubungan formal dengan Yahudi.
Sementara itu, Algeria semalam menzahirkan kebimbangan mendalam susulan laporan itu media mungkin menjadi sasaran perisian pengintip Pegasus buatan Israel.
Kementerian Luarnya itu juga mengecam dengan menyebutnya 'serangan sistematik terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi yang tidak dapat diterima' dan menuding Maghribi yang berjiran dengannya, mengintip pegawai dan warganegaranya.
Dalam perkembangan sama, pendakwa Hungary sudah memulakan siasatan terhadap tuduhan kerajaan negara itu menggunakan perisian risikan keluaran Israel yang menyasarkan telefon beratus-ratus individu, termasuk wartawan.
Diasaskan pada 2010 oleh warga Israel, Shalev Hulio dan Omri Lavie, Kumpulan NSO berpangkalan di hab teknologi tinggi Israel, Herzliya, dekat Tel Aviv serta menggaji ratusan kakitangan di Israel dan serata dunia. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/lain-lain/2021/07/842225/arab-saudi-uae-nafi-guna-perisian-pengintip
Comments
Post a Comment