TUNIS: Keputusan Presiden Tunisia, Kais Saied yang memecat perdana menteri negara ini, Hichem Mechichi serta menggantung Parlimen disifatkan pihak pembangkang sebagai ‘rampasan kuasa’.
Tindakan dramatik itu juga menyaksikan pembangkang mengajak semua penyokong turun ke jalanan untuk mengadakan bantahan.
Orang ramai yang ‘tidak senang duduk’ dengan situasi semasa dengan segera membanjiri ibu kota dan beberapa bandar utama di seluruh Tunisia sambil melaungkan slogan revolusi, bersorak dan membunyikan hon kereta.
Situasi itu ‘saling tidak tumpah’ seperti ketika mula-mula tunjuk perasaan Arab Spring yang menumbangkan beberapa kerajaan negara Arab pada 2011.
Kais ketika mengumumkan keputusannya memberi amaran mengenai sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keganasan di negara ini.
“Saya beri amaran kepada mana-mana pihak yang berniat untuk mengangkat senjata untuk mencetuskan keganasan, cita-cita anda tidak akan berjaya kerana pasukan tentera sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Perlembagaan negara ini membenarkan saya menggantung Parlimen sekiranya ‘keadaan berbahaya’,” katanya.
Namun, Speaker Parlimen Tunisia, Rached Ghannouchi menuduh Kais melakukan ‘rampasan kuasa untuk menentang revolusi dan Perlembagaan’.
Beberapa jam selepas pengumuman itu, kenderaan tentera mula memenuhi kawasan Parlimen dan orang ramai turut berkumpul.
Media tempatan melaporkan, pasukan tentera juga ditempatkan di beberapa stesen televisyen.
Selain itu, pasukan polis turut melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan tunjuk perasaan yang semakin agresif di beberapa bandar.
Skandal rasuah, kadar pengangguran tinggi dan kemerosotan ‘fungsi kerajaan’ sudah lama menjejaskan kepercayaan rakyat Tunisia terhadap politik di negara ini, malah situasi itu sudah memburuk sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Tinggal harapan
Lebih 10 tahun lalu, revolusi Tunisia diharap dapat menyemai demokrasi di negara ini, namun, harapan itu tidak kesampaian dan rakyat Tunisia masih belum capai apa yang mereka idamkan.
Arab Spring bermula selepas seorang penjual buah di Tunisia, Mohamed Bouazizi membakar dirinya pada 17 Disember 2010 kerana kecewa barangan niaganya dirampas pihak berkuasa tempatan, selain dipukul sebelum dia meninggal dunia pada 5 Januari 2011.
Berikutan itu, siri tunjuk perasaan membantah tindakan pihak berkuasa tempatan mula tercetus di seluruh Tunisia sebelum merebak ke negara Arab lain. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/07/arab-spring-2-0-bakal-berlaku/
Comments
Post a Comment