Biden umum operasi tentera AS di Iraq berakhir

 

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan memasuki hubungan fasa baru dengan Iraq sebaik operasi ketenteraannya ditamatkan di negara itu menjelang akhir tahun ini.

Presiden AS, Joe Biden, berkata kesepakatan itu dicapai ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi, semalam.

Biden menekankan bahawa Washington tetap komited untuk menjalinkan kerjasama keselamatan, sementara Kadhemi mengesahkan kembali hubungan kerjasama strategik mereka.

"Tentera AS di Iraq akan terus melatih, membantu dan menolong tentera Iraq menguruskan ancaman pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Daesh) dari semasa ke semasa.

"Biarpun tentera AS sudah keluar sepenuhnya dari Afghanistan, masih ada 2,500 tentera AS di Iraq tetapi mereka tidak akan menyertai operasi perang," katanya.

Selama 18 tahun selepas AS menyerang Iraq untuk menyingkirkan Saddam Hussein dan tujuh tahun memerangi militan yang mengancam negara itu, Washington kini mengalihkan tumpuannya kepada jenis bantuan lain.

Antaranya termasuk mengukuhkan bekalan tenaga elektrik, pemberian 500,000 dos vaksin COVID-19, menghadapi kesan perubahan iklim dan menyokong pembangunan sektor swasta.

Biden juga menekankan sokongan AS untuk pilihan raya pada Oktober ini di Iraq dengan mengatakan Washington bekerjasama rapat dengan Baghdad, Majlis Kerjasama Teluk dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan pilihan raya itu adil.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, (kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi (kiri) di Rumah Putih. - Foto EPA

"Kami menyokong pengukuhan demokrasi Iraq dan kami ingin memastikan pilihan raya berjalan baik," katanya.

Sementara itu, Kadhemi berkata kehadirannya di Washington adalah untuk membincangkan masa depan negara.

"AS membantu Iraq, bersama-sama kita berjuang, melawan dan mengalahkan Daesh.

"Hari ini, hubungan kita lebih kuat daripada sebelumnya, antara lain perkongsian dalam ekonomi, persekitaran, kesihatan, pendidikan, budaya dan banyak lagi," katanya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/843774/biden-umum-operasi-tentera-di-iraq-berakhir

 

Comments