PARIS: Ratusan ribu penduduk di beberapa negara termasuk Perancis dan Itali melancarkan protes membantah sekatan Covid-19, dengan polis di negara ini terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Kira-kira 160,000 penunjuk perasaan menyertai protes besar-besaran di seluruh Perancis menentang rang undang-undang kesihatan yang diusulkan oleh Presiden Emmanuel Macron.
Rang undang-undang itu menyaksikan penduduk yang belum divaksin tidak akan dibenarkan memasuki restoran, panggung wayang serta tempat umum.
Slogan ‘Kebebasan! Kebebasan!’ dilaungkan oleh penunjuk perasaan, selain menyifatkan rang undang-undang itu sebagai memalukan.
Itali
Skim serupa turut dicadangkan di Itali, menyaksikan sejumlah penunjuk perasaan di Rom, Naples dan Turin turun ke jalanan membantah pelaksanaannya.
‘Pas hijau’ yang dicadangkan oleh pihak berkuasa kesihatan Itali itu mungkin diperlukan seawal bulan depan untuk membolehkan orang ramai makan di restauran dan melakukan aktiviti di tempat tertutup.
Britain
Di London, ribuan penduduk juga mengadakan demonstrasi membantah penggunaan aplikasi mengesan kontak Covid-19.
Penunjuk perasaan menegaskan aplikasi itu hanya menyekat pergerakan mereka, terutamanya selepas lebih 600,000 penduduk diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama seminggu dalam bulan ini.
Protes itu berlangsung seminggu selepas England melonggarkan semua sekatan Covid-19.
Australia
Terdahulu, kira-kira 57 penunjuk perasaan ditahan selepas menyertai perarakan di Sydney.
Perhimpunan membantah perintah berkurung yang dilaksanakan ketika ini turut diadakan di Melbourne dan Brisbane.
Kebanyakan penunjuk perasaan mendesak supaya perintah berkurung dilonggarkan dan program vaksinasi dipercepatkan.
Kurang dari 14 peratus penduduk di Australia sudah menerima vaksin berbanding negara lain.
Greece
Kira-kira 5,000 penduduk berhimpun dan berarak di Athens selepas kerajaan Greece mewajibkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurut polis, ada penunjuk perasaan bertindak agresif dengan membaling bom petro, menyebabkan gas pemedih mata terpaksa dilepaskan.
Sebanyak 45 peratus daripada 11 juta populasi di Greece sudah menerima vaksinasi lengkap.
Pihak berkuasa negara ini mengarahkan semua petugas perubatan dan rumah kebajikan serta golongan guru mengambil vaksin susulan peningkatan kes yang direkodkan.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/07/dunia-semakin-muak-dengan-covid-19/
Comments
Post a Comment