Gelombang panas pecah rekod kerana pemanasan global

 

PARIS: Gelombang panas semasa yang memecahkan rekod sebelum ini di Kanada dan Siberia dikesan berlaku kerana pemanasan global kini berlaku lebih pantas.

Kajian oleh penyelidik, yang dilaporkan oleh Nature Climate Change, menunjukkan faktor menyumbang pemanasan global tidak bertambah, sebaliknya kes sedia berlaku seperti kebakaran kini semakin banyak dan berlanjutan lebih lama.

Pengarang utama dan seorang saintis kanan di ETH Zurich, Erich Fischer, berkata manusia berada pada ambang perubahan cuaca panas yang sangat cepat dan perlu bersedia menghadapi cuaca panas lebih teruk lagi.

"Gelombang panas yang melanda British Columbia menyaksikan suhu mencecah 49.6 darjah Celsius, lebih daripada lima darjah berbanding hari paling panas dicatatkan di Kanada.

"Tahap pemanasan semasa dijangka meningkat kira-kira 0.2 darjah Celsius setiap dekad dan mungkin berterusan selama sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun lagi.

"Kebarangkalian rekod pada masa depan juga boleh bergantung pada pelepasan yang membawa kita ke tahap pemanasan tertentu," katanya yang juga pengarang utama penilaian sains iklim Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, semuanya bergantung kepada bagaimana manusia boleh mengurangkan pencemaran karbon yang mendorong pemanasan global, dengan usaha untuk mengekang gas rumah hijau dalam dekad berikutnya.

Kebakaran hutan yang semakin kerap merangkumi kawasan lebih luas menjadi antara punca pemanasan global kini bertambah cepat. - Foto AFP

Hingga kini, penyelidikan mengenai bagaimana pemanasan global mempengaruhi gelombang panas menumpukan kepada berapa banyak peningkatan suhu berbanding seberapa cepat ia berlaku.

Profesor di Pusat Nasional Sains Atmosfera Universiti Reading, Britain, Rowan Sutton, berkata kajian baru menunjukkan potensi tinggi untuk mengatasi rekod ekstrim termasuk hujan lebat yang melanda Jerman dan China awal bulan ini.

"Walaupun tidak nampak cepat bagi kita, bumi memanas pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah peradaban manusia," katanya. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/843743/gelombang-panas-pecah-rekod-kerana-pemanasan-global

 

Comments