WASHINGTON: Jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) bakal kehilangan kediaman mulai esok apabila tempoh larangan pengusiran di seluruh negara berakhir ketika dana kerajaan berbilion dolar bagi membantu mereka tidak dimanfaatkan.
Gelombang pengusiran berlaku ketika varian Delta yang cepat menular melanda negara itu dan rumah sewa mendapat permintaan tinggi di pasaran hartanah.
Presiden AS, Joe Biden Khamis lalu mendesak Kongres untuk melanjutkan moratorium pengusiran selama 11 bulan, selepas keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini yang memutuskan Rumah Putih tidak boleh melanjutkan lagi tempoh itu sehingga September ini seperti yang diharapkan.
Pemimpin Demokrat di Kongres menggesa tempoh itu dilanjutkan, tetapi tidak jelas adakah mereka memiliki undi yang cukup untuk berbuat demikian, bahkan daripada golongan sederhana dalam parti itu sendiri bagi menghalang larangan itu berakhir.
Usaha berkenaan terhenti Jumaat lalu selepas langkah untuk mengesahkan tempoh lanjutan gagal di Kongres dan Speaker Nancy Pelosi dalam satu kenyataan, berkata tidak seorang pun ahli Republikan akan menyokong langkah itu.
Sehari sebelumnya, beliau berkata lanjutan moratorium terbabit adalah tindakan moral yang amat penting.
Beliau juga meminta gabenor dan pegawai daerah mengambil apa juga langkah diperlukan untuk mengagihkan bantuan sewa diperuntukkan oleh Kongres.
Tidak seperti bantuan lain berkaitan wabak yang diedarkan dari Washington, ia adalah tanggungjawab pihak negeri, daerah dan bandar untuk membangunkan program dari bawah sehingga kepada skim bantuan penyewa.
Jabatan Perbendaharaan berkata, pada Jun, hanya AS$3 bilion (RM12.66 bilion) bantuan yang sampai kepada isi rumah daripada AS$25 bilion (RM105 bilion) dihantar ke negeri dan daerah pada awal Februari, kurang tiga minggu sejak Biden memegang jawatan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengarahkan moratorium pengusiran pada September 2020, kerana ekonomi terbesar di dunia itu kehilangan lebih 20 juta pekerjaan di tengah penutupan wabak.
CDC khuatir peningkatan kehilangan tempat tinggal akan meningkatkan jangkitan wabak COVID-19.
Walaupun lebih separuh kehilangan pekerjaan berjaya dipulihkan kerana perniagaan dibuka semula, banyak keluarga masih belum mendapat bantuan pembayaran sewa yang tertangguh.
Tinjauan Isi Rumah terbaru oleh Biro Banci pada minggu pertama Julai menunjukkan daripada 51 juta penyewa yang dibanci, 7.4 juta gagal membayar sewa mereka dan hampir separuh berkata mereka berisiko diusir dalam tempoh dua bulan akan datang.
Menurut data Perbendaharaan, sehingga akhir Jun, hanya 450,000 isi rumah yang menerima bantuan melalui program Bantuan Sewa Darurat, dan beberapa negeri dan daerah belum membayar dana.
Perbendaharaan melancarkan kempen minggu ini untuk menyebarkan maklumat mengenai program itu dan membantu pihak berkuasa mengaktifkan dan menjalankan sistem mereka, dengan mengambil model di Virginia dan Houston, yang berjaya membantu keluarga yang terkesan. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/845481/jutaan-rakyat-berisiko-hilang-rumah-ketika-jangkitan-meningkat
Comments
Post a Comment