Kegagalan perisian punca insiden di ISS - Russia

 

MOSCOW: Kegagalan perisian dan kealpaan tindakan manusia wajar dipersalahkan dalam insiden menyebabkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berada di luar kawalan, namun kerja sedang dijalankan untuk mengaktifkan semula modul baharu itu, menurut agensi angkasa Russia semalam.

Jet pendorong pada modul penyelidikan Russia, Nauka secara tidak sengaja menyala pada Khamis, beberapa jam selepas tiba di ISS, menyebabkan seluruh pos orbit keluar dari kedudukan penerbangan normal kira-kira 250 batu di atas Bumi, dengan tujuh anak kapal berada didalamnya.

Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) ketika mengulas kejadian itu melaporkan, pengarah penerbangan misi segera mengisytiharkan kecemasan penerbangan angkasa ketika jurutera di lapangan berusaha untuk mendapatkan kembali kestabilan pada satelit penyelidikan itu.

Katanya, kawalan terhadap stesen itu hilang selama 45 minit, ketika pasukan penerbangan darat mengaktifkan pendorong pada modul pos lain dan kapal kargo berasingan yang sebelumnya berlabuh ke kompleks untuk memulihkan kembali kedudukannya.

Komunikasi dengan anak kapal juga hilang dua kali selama beberapa minit ketika kecemasan.

Pada Jumaat, pereka utama di Energia, sebuah syarikat agensi angkasa Russia, Vladimir Solovyov, berusaha untuk meyakinkan rakan-rakan antarabangsanya bahawa kejadian itu sudah diatasi dan akan segera beroperasi.

"Kru sedang sibuk mengimbangi tekanan dalam modul Nauka. Pada sebelah petang, kru akan membuka pintu pesawatnya, memasuki modul, memulakan apa yang diperlukan untuk membersihkan atmosfera dan melakukan kerja seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ketua agensi angkasa Russia-Roscosmos, Dmitry Rogozin, mengatakan kealpaan manusia mungkin punca insiden itu berlaku.

"Semuanya berjalan lancar namun ada faktor manusia. Terdapat beberapa euforia (selepas berjaya mendarat), semua orang rasa santai," katanya seperti dipetik laman web Komsomolskaya Pravda.

NASA dan Roscosmos masing-masing mengatakan tujuh kru - dua angkasawan Russia, tiga angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan dua yang lain masing-masing dari Jepun dan Perancis, tidak berada dalam kedudukan bahaya.

Kedua-dua agensi itu juga mengatakan keadaan itu diselesaikan dalam waktu singkat dan tidak ada kerosakan berlaku kepada stesen angkasa.

Insiden itu juga mendorong NASA menangguhkan pelancaran kapsul ruang angkasanya, Boeing Co Starliner. Pelepasan kapsul yang dijadual Jumaat dari Cape Canaveral, Florida, ditangguhkan ke 3 Ogos.

Angkasawan Russia, Oleg Novitsky, yang turut berada di kapal berkenaan membuat ciapan kepada pengikut Twitternya semalam, supaya tidak risau dengan kejadian yang berlaku.

Foto dikeluarkan Agensi Angkasa Russia Roscosmos menunjukkan modul penyelidikan Russia, Nauka berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Foto AFP

"Rakan-rakan yang dihormati, saya membaca banyak komen anda. Jangan risau! Kerja kami di ISS untuk mengintegrasikan modul Nauka yang baru tiba akan diteruskan! Malam ini kita akan buka pintunya. Akan dimaklumkan!," ciapnya.

Roscosmos berkata pemeriksaan pada mesin Nauka sedang dilakukan dari jarak jauh oleh pakar Russia untuk memastikan keselamatan berterusan dan stesen itu berada di lintasan penerbangan biasa, sambil memaklumkan pemasangan modul sudah berjaya. - AGENSI.

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/845449/kegagalan-perisian-punca-insiden-di-iss-russia

 



Comments