Pasar raya Britain lumpuh akibat ‘pingdemic’

 

LONDON: Pasar raya di Britain berdepan krisis kekurangan bekalan di rak kerana ribuan pekerja terpaksa menjalani kuarantin di rumah disebabkan situasi ‘pingdemic’.

Lapor Mirror, pengusaha pasar raya menegaskan mereka mengalami tekanan tinggi untuk memastikan operasi perniagaan berterusan dan memenuhi bekalan di rak.

Konsortium Peruncitan Britain menggesa kerajaan mengubah peraturan dengan membenarkan pekerja pasar raya yang sudah menerima suntikan vaksin yang lengkap untuk terus bekerja sekiranya menerima makluman untuk menjalani kuarantin kendiri menerusi aplikasi NHS Covid.

Pengarah bekalan makanan dan kelestarian, Andrew Opie berkata, situasi pingdemic yang berlangsung ketika ini menyukarkan lagi kemampuan peruncit untuk mengekalkan waktu operasi perniagaan dan bekalan makanan.  

“Peruncit dan pembekal yang memainkan peranan penting sepanjang pandemik ini harus dibenarkan untuk bekerja dengan syarat sudah menerima dua dos vaksin atau mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif,” katanya. 

Jelas Opie, bilangan pekerja yang terpaksa menjalani kuarantin akibat lonjakan kes Covid-19 dilihat hanya menjejaskan operasi peruncitan. 



Katanya, kekurangan pemandu lori yang sebahagian besar disebabkan isu Brexit juga memburukkan lagi rantaian bekalan runcit.

Terdahulu, orang ramai memuat naik beberapa gambar yang memaparkan rak kosong di beberapa bahagian di pasar raya di laman media sosial sehingga menjadi tular.   

Perdana Menteri, Boris Johnson meminta maaf kepada pemilik perniagaan yang mengalami kesukaran akibat sistem kuarantin kendiri. – AGENSI  


Comments