KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan dan Proklamasi Darurat tanpa dibincangkan di Parlimen atau dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) mempertikaikan sesi penerangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menyentuh langsung mengenai perkara berkaitan Ordinan dan Proklamasi Darurat.
Katanya, ia satu kelainan daripada apa yang diamalkan sebelum ini mengikut Peraturan Mesyuarat 14 (1) mengenai perbahasan dan pencerahan.
"Beliau (Perdana Menteri) tidak langsung sebut mengenai Ordinan Darurat sudah dimansuhkan pada 21 Julai lalu, saya nak tanya adakah selepas 21 Julai semua denda dan hukuman dibatalkan atau masih dilaksanakan.
"Saya ingin menuntut penjelasan Perdana Menteri kerana perkara ini penting bahawa penjelasan harus diberikan. Ini kerana ia adalah suatu perkara yang amat penting dalam keadaan Ordinan dan Proklamasi Darurat harus dijelaskan oleh Perdana Menteri.
"Adakah perkara ini sudah dimaklumkan kepada Istana (Negara)... darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos, adakah ini sudah disembahkan kepada istana kerana negara ingin tahu kedudukan sekarang," katanya.
Perkara sama turut dibangkitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang menuntut penjelasan sama ada semua hukuman dan denda berkaitan Ordinan Darurat dibatalkan atau sebaliknya.
"Kita ada Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa jika ordinan itu ditarik balik, undang-undang itu masih berkuat kuasa selama enam bulan. Ini yang kita ingin minta penjelasan," katanya.
Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) pula berkata, ketiadaan penjelasan mengenai Ordinan Darurat menunjukkan kerajaan tidak ikhlas.
"Saya percaya Perdana Menteri perlu beri penjelasan yang memuaskan kenapa untuk lima hari Ordinan Darurat tidak dibincangkan dalam dewan ini.
"Ini menunjukkan kerajaan tidak ikhlas. Saya rasa Perdana Menteri perlu beri satu penjelasan kepada negara, kepada Parlimen. Jika tidak, Perdana Menteri perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan yang mulia ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/843399/pembangkang-persoal-ordinan-darurat-mansuh-tanpa-bincang
Comments
Post a Comment