MARRAKESH: Penerbangan komersial secara terus pertama di antara Israel dan Maghribi mendarat di Marrakesh hari ini, lebih tujuh bulan selepas kedua-dua negara mewujudkan semula hubungan diplomatik, melalui perjanjian yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS).
Kira-kira 100 penumpang penerbangan Israir tiba dari Tel Aviv dan disambut dengan kurma, kek dan teh pudina pada majlis meraikan ketibaan mereka.
"Saya memang berasal dari Marrakesh. Saya kembali ke sini kira-kira 30 kali. Namun perjalanan kali ini lebih istimewa, seolah-olah seperti kali pertama," kata seorang penumpang, Pinhas Moyal yang memakai pelitup muka dan beg berwarna seperti bendera Maghribi.
Jurucakap Israir, Tali Leibovitz, berkata sejumlah dua hingga tiga penerbangan setiap minggu dari Israel ke Maghribi dijadualkan bagi laluan penerbangan itu.
Penerbangan nasional Israel, El Al, hari ini mengumumkan akan turut melancarkan perkhidmatan ke Marrakesh, dan merancang melakukan lima penerbangan setiap minggu ke sana dan Casablanca.
Pada majlis perlepasan pesawat El Al yang dihadiri perutusan Maghribi, Abderrahim Beyyoudh, Menteri Pelancongan Israel, Yoel Razvozov berkata, perkhidmatan itu bakal melonjakkan kerjasama perdagangan, pelancongan dan ekonomi di antara kedua-dua negara.
Maghribi antara empat negara serantau yang bersetuju mewujudkan kembali hubungan dengan Israel tahun lalu, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/07/843230/penerbangan-terus-israel-maghribi
Comments
Post a Comment