WASHINGTON: Penularan varian Delta COVID-19 sama seperti penyakit cacar air, berkemungkinan boleh mengakibatkan kesan lebih serius dengan jangkitan kes kepada individu yang divaksin boleh menular sama seperti kes tidak divaksin, menurut satu dokumen kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bocor.
Slaid pembentangan dalaman dihasilkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menekankan bahawa 'perang sudah berubah' kesan daripada varian Delta.
Ia pertama kali dilaporkan oleh The Washington Post dan disahkan AFP.
Pengarah CDC, Rochelle Walenksy memetik data daripada pembentangan yang menjustifikasi pemakaian kembali pelitup muka kepada mereka yang divaksin, terutama di kawasan berisiko tinggi.
Satu daripada dapatan adalah penemuan bahawa penularan jangkitan pada mereka yang sudah divaksin sangat cepat, dengan data diperoleh daripada kajian sebelumnya serta analisis baharu mengenai wabak itu di Provincetown, Massachusetts.
Pakar bergantung pada angka yang disebut nilai kitaran ambang (Ct) untuk menunjukkan berapa banyak virus yang menjangkiti individu berkenaan dengan bilangan lebih rendah menunjukkan jumlah virus dalam tubuh pesakit itu tinggi.
Di Provincetown, tiada perbezaan nilai Ct bagi kes yang divaksin dan belum divaksin, menurut slaid pembentangan itu.
Semalam, CDC menerbitkan laporan awal mengenai kaedah penyebaran membabitkan kira-kira tiga perempat individu yang sudah divaksin.
Penularan wabak di sana berkait sambutan Festival 4 Julai, dengan jumlah jangkitan terbaharu melonjak sehingga 900 orang, menurut laporan tempatan.
Namun tidak seperti penularan wabak sebelumnya, kemasukan ke hospital rendah, hanya tujuh setakat ini, menurut laman web berita MassLive, sambil melaporkan tiada kematian setakat ini.
"Ini adalah titik utama yang menjadi alasan mengapa CDC mengubah panduannya. Sebagai individu yang sudah diberi vaksin jika anda dijangkiti, anda mungkin mempunyai gejala ringan, mungkin juga tidak bergejala. Namun berdasarkan apa yang kita lihat di sini, anda boleh menularkan kepada orang lain," kata Profesor di New York University, Celine Gounder.
Oleh itu, CDC mengubah petunjuknya dengan mengatakan individu yang sudah menerima vaksin perlu menguji sama ada mereka terdedah kepada virus itu biarpun mereka tidak mengalami sebarang gejala.
Ahli epidemiologi di Universiti Johns Hopkins, Jennifer Nuzzo, menambah perkara yang perlu diperhatikan mengenai wabak di Provincetown adalah ia berlaku dalam keadaan di mana penularan komuniti rendah.
"Lebih-lebih lagi, laporan masyarakat mengenai penyebaran wabak itu menunjukkan ia mungkin berlaku di tempat-tempat seperti bar dan acara di rumah, di mana tiada pemakaian pelitup muka," katanya kepada AFP.
Slaid oleh CDC juga menunjukkan jangkitan menular tidak seperti yang ditunjukkan sebelumnya dan pada masa ini, ia menyumbang 35,000 jangkitan simptom setiap minggu di antara 162 juta penduduk AS yang diberi vaksin.
Tinjauan penemuan dari negara lain menunjukkan biarpun SARS-CoV-2 asal sama penularannya dengan selesema biasa, setiap individu dijangkiti varian Delta akan menjangkiti lapan yang lain, sama penularan seperti cacar air.
Laporan dari Kanada dan Scotland juga menunjukkan keadaannya mungkin lebih parah, dengan kemungkinan kemasukan ke hospital lebih tinggi.
Di Singapura, ia juga menimbulkan kemungkinan kemasukan dan kematian di unit rawatan rapi (ICU).
Anggaran keberkesanan vaksin berbeza setiap negara, namun CDC menyimpulkan, risiko gejala lebih parah atau kematian boleh dikurangkan 10 kali ganda atau lebih dengan vaksin, sementara risiko jangkitan pula, berkurang tiga kali ganda atau lebih.
Petunjuk itu setara dengan keberkesanan 90 peratus vaksin terhadap gejala lebih teruk dan kematian, serta sekurang-kurangnya 67 peratus berkesan terhadap jangkitan.
Pakar mengatakan pemakaian pelitup muka dapat memperlahankan penyebaran, vaksin tetap menjadi jalan keluar untuk krisis kesihatan ini.
Kempen imunisasi AS yang terhenti mula meningkat semalam dengan Rumah Putih mengumumkan setengah juta individu menerima suntikan pertama mereka, jumlah tertinggi sejak 1 Julai.
Hampir 50 peratus jumlah populasi di AS sudah diberi vaksin sepenuhnya, termasuk lebih 60 peratus orang dewasa. - AFP.
https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/07/845412/perang-berubah-dokumen-dedah-kebimbangan-delta
Comments
Post a Comment