ANKARA: Puluhan mangsa kebakaran dibawa ke hospital kerana terhidu asap dan kecederaan lain akibat melecur ketika kebakaran hutan di selatan Turki semalam.
Media tempatan melaporkan, sebuah pusat pelancongan Mediterranean dan beberapa perkampungan penduduk tempatan musnah dijilat api.
Rakaman di media sosial dan TV Turki menunjukkan penyelamat membuang serbuk pemadam api api dari helikopter ke bangunan dan ladang yang terbakar sekitar bandar pesisir pantai Manavgat.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata semua sokongan yang perlu akan diberikan kepada warganegara terjejas akibat kebakaran itu dan siasatan sudah dijalankan untuk mencari punca kebakaran.
Media Turki melaporkan 62 penduduk tempatan yang terhidu asap dan tiga lagi mengalami luka kebakaran serta dimasukkan ke hospital.
Ratusan pekerja perhutanan, dibantu oleh helikopter dan kapal terbang, berusaha mengawal kebakaran.
Pegawai tempatan berkata, empat daerah di bandar itu sudah dipindahkan dan api sebahagiannya adalah terkawal.
"Ini adalah tragedi buruk yang sangat luar biasa," kata Datuk Bandar Manavgat, Sukru Sozen kepada CNN Turki.
Stesen televisyen NTV melaporkan 20 bangunan yang menempatkan 500 orang terbakar di salah satu bahagian di bandar itu.
Agensi berita negeri, Anadolu, menolak laporan awal bahawa sebuah hospital tempatan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Datuk Bandar Antalya, Muhittin Bocek, berkata kebakaran itu tidak menimbulkan risiko bagi pihak pusat peranginandan bersyukur tidak berlaku kehilangan nyawa.
"Api nampaknya melanda di empat lokasi serentak, membuktikan perbuatan khianat tetapi kami tiada maklumat yang jelas mengenai hal ini sekarang," katanya kepada stesen televisyen NTV.
Menteri Pertanian, Bekir Pakdemirli, mengesahkan bahawa kebakaran berlaku di empat lokasi tetapi menyatakan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan apa punca kebakaran itu. - AFP
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/07/844708/puluhan-cedera-dalam-kebakaran-hutan-di-turki
Comments
Post a Comment