MOSCOW: Pasukan pertahanan udara Syria menembak jatuh tujuh daripada lapan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat perang Israel dalam serangan yang menyasarkan wilayah Syria di Aleppo.
Ketua Pusat Rekonsiliasi tentera Russia di Syria, Laksamana Muda Vadim Kulit, berkata empat jet pejuang F-16 Israel menyasarkan kemudahan di tenggara Aleppo dalam serangan Isnin lalu.
Kulit berkata, tujuh daripada lapan peluru berpandu yang dilancarkan oleh jet pejuang Israel berjaya dijatuhkan oleh unit pertahanan udara Syria yang menggunakan sistem pertahanan udara dibekalkan oleh Russia Pantsyr-S dan Buk-M2.
"Satu peluru berpandu merosakkan bangunan pusat penyelidikan saintifik di Safira," katanya.
Memetik laporan agensi berita SANA, pegawai tentera Syria berkata, Israel melakukan serangan udara di wilayah Aleppo pada Isnin lalu.
Dia mengatakan bahawa pertahanan udara Syria menembak jatuh sebahagian besar peluru berpandu dalam serangan yang berlaku tepat sebelum tengah malam.
Observatorium Syria untuk Hak Asasi Manusia yang berpusat di Britain iaitu pemantau perang yang mempunyai aktivis di Syria, menyatakan serangan Israel menyasarkan depot senjata yang dimiliki oleh militan disokong Iran dan beroperasi di wilayah Safira di Aleppo.
Kumpulan itu mengatakan bahawa serangan itu diikuti letupan kuat di mana depot senjata itu berada di dalam pos tentera Syria.
Israel sebelum ini melancarkan ratusan serangan terhadap sasaran ketenteraan yang berkaitan dengan Iran di Syria selama bertahun-tahun tetapi jarang mengakui atau membincangkan operasi itu.
Israel bimbang Iran akan menguasai di sempadan utara dan berkali-kali menyerang kemudahan yang berkaitan dengan Iran dan konvoi senjata yang ditujukan untuk Hizbullah.
Russia telah melakukan kempen ketenteraan di Syria sejak 2015, membantu rejim Presiden, Bashar Assad merebut kembali kawalan ke atas sebahagian besar negara itu setelah perang saudara yang dahsyat.
Moscow juga telah membantu memodenkan persenjataan tentera Syria dan melatih anggotanya. - AGENSI
Comments
Post a Comment