Facebook disaman kerana monopoli rangkaian sosial

 

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam memfailkan semula tuntutan mahkamah terhadap Facebook atas dakwaan memonopoli rangkaian sosial, dua bulan selepas hakim menolak kes berkenaan.

Dalam tuntutan baharu yang dipinda itu, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) mendakwa dominasi Facebook 'dilindungi sekatan tertinggi untuk masuk'.

Malah, kemasukan pihak ketiga yang memiliki produk hebat masih tidak mampu menyaingi penguasaan rangkaian sosial gergasi internet itu.

Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di ibu negara AS itu turut mendakwa Facebook menggunakan 'pemerolehan anti persaingan' bagi melindungi saluran Instagram dan Whatsapp.

Pemangku ketua biro persaingan FTC, Holly Vedova, berkata Facebook kekurangan kepintaran perniagaan dan bakat teknikal untuk beralih ke telefon pintar.

"Selepas gagal bersaing dengan syarikat baharu, Facebook secara haram membeli atau 'menenggelamkan' pesaing apabila populariti mereka terancam oleh produk berkenaan.

"Amalan anti persaingan ini ibarat Facebook memberi 'rasuah' pada syarikat baharu supaya tidak bersaing dengannya.

"Tindakan FTC bertujuan menamatkan kegiatan salah ini dan mengembalikan persaingan untuk manfaat rakyat AS serta ahli perniagaan yang jujur," katanya.

Dalam satu kenyataan, Facebook, yang sebelum ini menafikan dakwaan monopoli, memaklumkan pihaknya sedang meneliti aduan terbaru FTC dan akan mengeluarkan kenyataan susulan selepas ini.

Gambar hiasan. - Foto AFP

Pada 28 Jun lalu, Hakim Daerah AS, James Boasberg, menerusi penghakiman 53 muka surat, berkata tuntutan awal FTC kekurangan bukti, khususnya dalam menakrifkan pasaran yang didakwa dimonopoli Facebook.

Berdasarkan keputusan itu, FTC memfailkan kes bersandarkan pada satu kenyataan yang 'tidak jelas' berkenaan Facebook dikatakan mengawal 60 peratus pasaran rangkaian sosial, namun agensi itu tidak menjelaskan 'kriteria ukuran'. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2021/08/853456/facebook-disaman-kerana-monopoli-rangkaian-sosial

 

Comments