Gerakan rampas semula Afghanistan dari Taliban

 

KABUL: Apabila Presiden Afghanistan yang disingkirkan, Ashraf Ghani meninggalkan negara ini dan Taliban mengambil alih tampuk pentadbiran, semua perang saudara yang tercetus sebelum ini dilihat sudah berakhir.

Namun, beberapa jam selepas itu, sejumlah ahli politik berjanji untuk merampas semula Afghanistan dan tidak mahu membiarkan negara ini ditadbir Taliban.

Lembah Panjshir yang terletak di utara Kabul merupakan kubu kuat yang masih bertahan selepas beberapa dekad, bermula dengan menentang serangan Soviet pada 1980-an sehinggalah kebangkitan Taliban pada 1990-an.

Timbalan Presiden Afghanistan, Amrullah Saleh yang dilahirkan dan menerima latihan ketenteraan di Panjshir berikrar untuk membebaskan semula negara ini dari Taliban selepas beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ‘penjaga kerajaan’.

Duta Afghanistan ke Tajikistan, Zahir Aghbar memberi jaminan bahawa Panshir akan menjadi ‘pangkalan’ kepada mana-mana pihak ingin berjuang menentang Taliban dan mengembalikan semula Afghanistan seperti sebelum ini.

“Panjshir menentang keras terhadap sesiapa yang memilih untuk menghambakan masyarakat.

“Saya tidak boleh cakap Taliban sudah menang peperangan ini. Tidak sama sekali. Hanya Ashraf yang melepaskan kuasanya,” katanya.

Beberapa video yang dikongsi dalam media sosial menunjukkan beberapa individu penting kerajaan terdahulu mengadakan perhimpunan di Panjshir.

Antaranya termasuk Menteri Pertahanan Afghanistan, Bismillah Mohammadi dan ahli politik Ahmad Massoud.

 

Bukan kerja mudah

Selain itu, Zahir memberi gambaran mengenai pilihan yang ada iaitu Taliban boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan pakatan dengan mewakili semua puak sekiranya mereka ‘membiarkan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan tenang’.

Sekiranya gagal, pilihan untuk ‘berjuang habis-habisan’ akan dilakukan biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Setakat ini, tiada mana-mana negara jiran Afghanistan yang akan menyokong pergerakan anti Taliban, selain sukar mendapatkan sokongan antarabangsa.

 

Taliban akui cabaran

Sementara itu Taliban akui penukaran kerajaan ketika ini bukanlah perkara yang mudah.

Ada juga dalam kalangan kepemimpinan Taliban percaya mereka masih memerlukan khidmat pegawai kerajaan terdahulu bagi membantu mereka membangunkan semula Afghanistan.

Taliban sebelum ini meminta menteri kesihatan dan datuk bandar Kabul untuk kekal dengan jawatan mereka, selain bekas presiden, Hamid  Karzai berkemungkinan ditawar jawatan dalam Kabinet Taliban. – AGENSI

utusan.com.my/luar-negara/2021/08/gerakan-rampas-semula-afghanistan-dari-taliban/

 

Comments