Kadar jenayah di Singapura naik 11.2 peratus, terdapat banyak kes cabul kehormatan, mengintai

 

SINGAPURA: Kadar jenayah di Singapura pada separuh pertama tahun ini meningkat dengan 19,444 kes dilaporkan, naik 11.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Berita Mediacorp melaporkan, kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh lonjakan dalam kes penipuan di tengah-tengah pandemik Covid-19, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dalam satu kenyataan, SPF mendedahkan bahawa kes-kes sedemikian bertambah 16 peratus kepada 8,403 antara Januari dengan Jun, berbanding 7,247 pada tempoh yang sama tahun lalu.

Namun begitu, SPF menyatakan bahawa kenaikan itu ‘jelas’ lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya, yang dalam lingkungan antara 19.5 peratus dengan 108.8 peratus dari 2018 hingga 2020.

Terdapat juga lebih banyak kes melibatkan perbuatan mencabul kehormatan dan mengintai, sebahagiannya disebabkan bilangan kes lebih rendah yang dicatat sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

“Jumlah kes (cabul kehormatan) yang berlaku dalam sistem pengangkutan awam termasuk di pusat-pusat pertukaran pengangkutan awam dan dalam pengangkutan awam, kekal menjadi kebimbangan,” menurut polis, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan para pengendali pengangkutan awam untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penumpang.


Penipuan fizikal pula merosot lebih 400 kes dalam dua kategori jenayah secara amnya – pecah rumah, pencurian dan jenayah-jenayah berkaitan.

Polis menyatakan bahawa bilangan aduan bagi kes berkaitan rompakan, pecah rumah dan pencurian pada suku pertama tahun ini adalah yang paling rendah sepanjang 10 tahun dengan hanya 75 kes.

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/kadar-jenayah-di-singapura-naik-11-2-peratus-terdapat-banyak-kes-cabul-kehormatan-mengintai/

Comments