ISLAMABAD: Kemenangan Taliban menakluk semula Afghanistan dalam tempoh 10 hari dikatakan turut dibantu oleh Pakistan yang berperanan sebagai tulang belakang di sebalik kejayaan itu.
Penaklukan semula Taliban selepas kali terakhir memimpin negara itu pada 1996 disambut baik oleh ahli politik, golongan ulama, pegawai tentera termasuk Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.
Lapor The Guardian, antara individu yang menyatakan sokongan terhadap pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban ialah bekas ketua agensi perisikan Inter Services Intelligence (ISI), Asad Durrani.
Imran turut menzahirkan kegembiraan kerana Afghanistan akhirnya berjaya keluar daripada ‘belenggu perhambaan’ selama ini.
Namun, di sebalik kegembiraan itu sebenarnya Imran bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa kerana timbul perasaan berbelah bahagi yang membelenggu jiwanya.
Kebimbangan besar timbul dalam benak pemimpin nombor satu di Pakistan sama ada kejayaan Taliban itu juga boleh berlaku melibatkan kumpulan pengganas di negara ini.
ANCAMAN MILITAN
Hal ini kerana, kumpulan yang sudah dilabelkan sebagai militan oleh pihak berkuasa Pakistan iaitu, Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) menganggap sejarah baharu itu sebagai ‘kemenangan yang diberkati’.
Kumpulan itu menaruh harapan untuk melaksanakan model pemerintahan sama seperti era kepemimpinan Taliban di Afghanistan dari 1996 hingga 2001.
Situasi lebih meruncing apabila banduan pertama yang dibebaskan oleh Taliban di Afghanistan minggu lalu ialah Timbalan Ketua TTP, Faqir Muhammad.
Banyak pihak turut menuding jari terhadap Pakistan selepas kebangkitan Taliban di Afghanistan.
Pakistan mula memberikan sokongan terhadap Taliban pada 1996 dan selepas pencerobohan AS pada 2001, pemimpin Taliban diberikan perlindungan di negara itu selama hampir dua dekad.
Pakistan malah dituduh bersekongkol dengan pembinaan kem latihan Taliban di sempadan wilayah negara itu.
Sekolah aliran agama, Madrassas di seluruh Pakistan didakwa sebagai tempat merekrut kumpulan pejuang dengan menghantar golongan lelaki untuk bertempur sebagai anggota Taliban di Afghanistan.
HASRAT PAKISTAN
Tidak diketahui apa yang diharapkan oleh Pakistan terhadap pemerintahan Taliban di Afghanistan selepas ini.
Mungkin kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk meluaskan pengaruh dan untuk Pakistan sendiri, berdepan dengan seterunya iaitu India.
Imran dikatakan tidak gemar dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Ashraf Ghani yang didokong kuat oleh AS kerana bersahabat baik dengan India.
Ditambah pula dengan kenyataan Ashraf yang pernah mendakwa Pakistan membenarkan 10,000 anggota kumpulan Taliban merentas ke Afghanistan.
Sedangkan, Pakistan turut menanggung derita akibat kehilangan 80,000 nyawa rakyatnya semasa kehadiran tentera AS di rantau itu atas nama perang melawan keganasan. – AGENSI
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/pakistan-berbelah-bahagi-hendak-sokong-taliban/
Comments
Post a Comment