Ribut Tropika Isang bertambah kencang di Filipina

 

MANILA: Ribut Tropika Isang yang melanda Filipina bertukar menjadi lebih kencang hari ini, namun dijangka beransur keluar meninggalkan negara itu lewat petang ini.

Pakar cuaca dari Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofisika dan Astronomi Filipina (Pagasa), Ezra Bulquerin, berkata berdasarkan laluan Ribut Tropika Kencang Isang, ia mungkin akan meninggalkan kawasan Filipina petang ini.

"Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan langsung di mana-mana bahagian negara ini melainkan hanya menyebabkan hujan lebat di beberapa bahagian," katanya.

Ribut Tropika Isang mencatatkan kelajuan maksimum 95 kilometer sejam (kp/j) berhampiran pusat dan bertiup hingga 115 kp/j semasa bergerak ke arah barat laut dengan kepantasan 20 kp/j.

Isang kemudian dilihat di lokasi 560 kilometer (km) ke timur laut Itbayat, Batanes pada jam 4 pagi tadi.

Gambar hiasan.

Langit mendung dengan hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku di Visayas Barat, Semenanjung Zamboanga, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao, wilayah Soccsksargen, Bataan, Zambales, Palawan, Occidental Mindoro dan Oriental Mindoro.

Sementara itu, seluruh negara akan diselubungi cuaca mendung dan hujan lebat atau ribut petir yang dibawa oleh Ribut Tropika Isang dan ribut petir setempat. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/08/854613/ribut-tropika-isang-bertambah-kencang-di-filipina

 

Comments