Sindrom Havana gusarkan AS

 

WASHINGTON: Diplomat Amerika Syarikat (AS) terus berdepan dengan penyakit misteri yang dikenali sebagai ‘Sindrom Havana’ yang mencetuskan sakit kepala teruk, mual dan boleh menyebabkan kerosakan otak. 

Sehingga kini, pihak berkuasa AS masih belum mengenal pasti punca penyakit misteri itu dan kebanyakan pegawai AS yakin mereka sebenarnya diserang dengan senjata elektronik. 

Selasa lalu, Naib Presiden AS, Kamala Harris terpaksa menundakan perjalanan selama beberapa jam ke Vietnam selepas kedutaan AS di Hanoi melaporkan kemungkinan kes melibatkan ‘serangan akustik’ di sana sehingga menimbulkan kebimbangan beliau akan menjadi sasaran seterusnya. 

Walaubagaimanapun, Harris tetap melawat Hanoi dan Jabatan Negara AS menjelaskan pihaknya akan menyiasat kejadian yang disifatkan sebagai  ‘insiden kesihatan tidak normal’ atau AHI tersebut. 

Kes di Hanoi itu merupakan yang terbaharu daripada puluhan kes yang dilaporkan oleh diplomat AS dan pegawai perisik sejak 2016. 

Kali pertama, sindrom itu dilaporkan di Havana, Cuba, China, Jerman, Australia, Taiwan dan Washington. 

 

ANCAMAN RUSIA

Julai lalu, majalah New Yorker melaporkan terdapat puluhan kes AHI melibatkan pegawai AS di Vienna, Austria sejak awal tahun ini.

AS juga tidak menolak kemungkinan kesemua ancaman tersebut dilakukan oleh Rusia, menyebabkan Jabatan Negara AS memberi amaran kepada ribuan diplomatnya mengenai ancaman itu sambil melakukan pemeriksaan perubatan kepada pegawai yang akan berlepas ke luar negara. 

Jurucakap Jabatan Negara AS memaklumkan pihaknya memandang serius setiap laporan yang diterima dan berusaha memastikan pegawai terjejas mendapat rawatan serta sokongan yang diperlukan. 

Selepas insiden di Hanoi, bekas pegawai operasi Agensi Perisikan Pusat (CIA), Marc Polymeropoulos yang pernah menjadi mangsa AHI di Moscow pada 2017 berkata, jumlah serangan dilihat semakin meningkat. 

 

TEORI GELOMBANG MIKRO 

Pada 2017, diplomat Kanada dan keluarga mereka di Havana turut melaporkan beberapa kes, iaitu beberapa bulan selepas serangan pertama berlaku melibatkan pegawai AS. 


Dalam beberapa kes yang dilaporkan, pendengaran mereka dilaporkan menjadi terlalu fokus, bingit atau tajam sehingga menyebabkan rasa muall.

Kadang-kadang mereka turut mengalami hidung berdarah, sakit kepala dan gejala lain yang menyerupai gegaran otak. 

Insiden itu mencetuskan teori bahawa sindrom itu disebabkan oleh senjata yang menggunakan gelombang mikro, gelombang bunyi dan racun.. – AFP

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/08/sindrom-havana-gusarkan-as/

Comments