PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak membuat andaian atau spekulasi kononnya bencana buruk menimpa Kedah baru-baru ini disebabkan ‘kemarahan’ Tok Sheikh.
Sebaliknya, menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Abdul Halim Abdul Kadir, segala kejadian alam itu adalah ketentuan Allah bagi menguji kesabaran manusia.
“Jika ada dakwaan ia kerana ‘tulah amarah’ ulama silam seperti Tok Sheikh, saya rasa pihak terbabit mungkin terlalu memuja legasi tokoh hebat itu secara agak keterlaluan,” katanya.
Beliau merujuk fenomena luar biasa kepala air dari puncak Gunung Jerai lewat Rabu lalu yang mengakibatkan kemusnahan teruk dan meragut nyawa penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Susulan itu, ada pihak mendakwa malapetaka dahsyat tersebut kononnya berpunca daripada sikap taksub segelintir individu yang melakukan khurafat terhadap makam Tok Sheikh di situ.
Tapak pusara itu telah pun lama lenyap dipercayai bersebelahan stesen menara pemancar digital Telekom Malaysia di Jalan Persekutuan 274 pada ketinggian 1,219 meter dari paras laut.
Namun, beberapa tinggalan ulama Arab bernama Sheikh Abdullah Ahmad al-Qumairi itu masih ada antaranya telaga air, menara azan dan padang berbatuan yang dipercayai tapak masjid.
Beliau dipercayai mengasaskan silat kalimah daripada asas corak pergerakan solat dan turut bertanggungjawab mengislamkan raja Kedah dinasti Merong Maha Wangsa pada abad ke-12.
Kawasan itu yang tidak jauh dari pusat peranginan terkenal Jerai Hill Resort, sering menjadi tumpuan masyarakat untuk ‘mengambil keberkatan’ sehingga ada melakukan ritual khurafat.
Abdul Halim yang juga bekas Mufti Terengganu berkata, umat Islam memang digalakkan menghargai kesan sejarah agamawan dahulu tetapi bukan sehingga jadi fanatik.
“Kita usahlah ekstrem walaupun memang digalakkan menginsafi sejarah khasnya perjuangan ulama dahulu yang gigih menyebarkan Islam agar dapat dijadikan panduan hidup,” tegasnya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Hafiz Mustafa Lubis ketika dihubungi Utusan Malaysia sambil memohon umat Islam negeri itu bertenang.
Mereka juga wajar menjadikan bencana teruk itu sebagai pengajaran kekuasaan Allah yang tidak dapat disangkal pemikiran manusia dan kembali bermuhasabah jika ada buat kesilapan.
Pada masa sama katanya, malapetaka itu turut mengajar masyarakat supaya lebih bersiap siaga dalam mendepani ‘kehebatan’ fenomena alam yang boleh berlaku tanpa dijangka awal.
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/tulah-makam-tok-sheikh-karutlah/
Comments
Post a Comment